Belajar menulis daripada Sifu PTS

Salam Aura Kedamaian…

Lama saya tak menulis di pentas ini. Begitu pantas masa berlalu hingga tak sedar banyak perkara yang sedikit ‘tercicir’. Masih berusaha kuat untuk menjalani segala amanah dan tugasan yang memerlukan saya lebih ‘hadir’. Semoga Allah terus memberikan hidayah dan taufiknya buat saya agar segala anugerahNya ini tiada sia-sia.

Hari ini, kebetulan menjadi hujung minggu yang ‘free’ dari sesi konsultasi, kuliah atau kursus untuk saya kendalikan. Lalu kesempatan ini saya gunakan sebaiknya untuk tidak melepaskan peluang pergi menambah ilmu. Sebenarnya sudah lama saya menyimpan hasrat untuk ke sesi kuliah Puan Ainon bagi menuntut ilmu penulisan, bagaimanapun saya sering saja tak berkesempatan untuknya. “Tak ada rezeki..” itu sahaja yang boleh saya katakan untuk memujuk diri. Maka, kali ini tidak boleh tidak peluang yang ada saya laksanakan. Alhamdulillah, DIA beri keizinanNya.

Bengkel Bahasa Melayu Tinggi PTS

Bengkel ini dikendalikan sendiri oleh Sifu Puan Ainon. Santai dan bersahaja namun sarat dengan info, tips dan ilmu. Tempoh 5 jam dalam bilik kuliah tidak terasa panjang. Walaupun bilik kuliah ini sesak dengan penagih-penagih ilmu hingga ada yang hanya duduk berlapikan lantai, ‘oksigen  ilmu’ yang dihembuskan Puan Ainon tetap menyegarkan. Saya kira, jika tidak kerana ‘aura’ yang dimiliki sifu; pasti sudah ramai yang keluar ‘kepanasan’ akibat sesak dek jumlah kehadiran yang ramai. Walaupun berhimpit dan ‘hangit’ semuanya setia di dudukan masing-masing. Semuanya atas dasar ILMU.

Banyak yang saya belajar hari ini. Selain belajar tentang teknik penulisan Bahasa Melayu Tinggi, saya juga belajar tentang ilmu kehidupan. Memahami peranan bahasa dalam status kehidupan, bagaimana kesannya terhadap diri dan masyarakat, bagaimana melaluinya ‘nilai’ seseorang juga boleh tergugat dan seterusnya kepentingan melaksanakan intervinsi bagi ‘menyetor’ (bahasa Puan Ainon) “elaborate code” ke dalam minda generasi muda demi memartabatkan bangsa.

“PERLU TANAM “ELABORATE CODE” KE DALAM KEHIDUPAN” itu kata Sifu Puan Ainon berulang kali seolah-olah mahu menanam fakta itu ke dalam minda kami.

Sejenak saya termanggu, berfikir dan merenung dalam-dalam; BESARNYA PERANAN INI. Penulis bukan hanya perlu menghasilkan suatu bahan ilmiah untuk tatapan bagi berkongsi ‘bahan ceritanya’ kepada pembaca, bahkan ia bertanggung-jawab untuk ‘memandaikan bahasa’ agar kelak hasilnya bangsa kita ‘tangkas berbahasa’. Setiap patah bicara (tulisan) perlulah disampaikan dengan ayat-ayat yang kompleks, bertatabahasa ’standard’ yang betul, memiliki sistem morfologi yang kompleks, frasa-frasa dan perbendaharaan kata yang tersusun sempurna. Itulah ciri berbahasa Melayu tinggi.

Banyak lagi perisian ilmu yang telah dilakukan Puan Ainon termasuk tips komunikasi berkesan dalam kehidupan seharian. Antara tips yang menarik :

“Metamatika adalah abstraks, ia bukan hanya perihal angka kerana angka adalah konkrit”

“Bahasa Melayu Tinggi – Bahasa SUPRA (menjangkaui sempadan)”

“Biar terlebih jangan terkurang”

“Adab berbahasa dalam komunikasi – Pemuliaan harus lebih tinggi dari kemesraan”

“Bahasa adalah WANG”

“Bahasa adalah DATA”

dan sebagainya lagi…

Puan Ainon

Personaliti ini mesra orangnya meskipun adakalanya ‘nampak garang’, tegas dan berkarisma. Bersahaja dan amat sederhana dalam penampilan, berbicara dan tingkahnya. Kaya dengan humor dan petah berbicara. Buah butir bahasanya jelas, penuh ‘inti’ dan nadanya teratur. Matanya bersinar, pandangannya tajam menyusuk kalbu sang penagih ilmu hingga terasa ’sinar ilmu’ itu menyusuk ke ruang minda dan dada. Tidak meleret dalam penceritaan namun ‘ceritanya’ penuh dengan idea dan informasi berkesan. Amat kaya dengan pengalaman dalam arenanya menjadikan gelaran ’sifu’ itu sinonim untuk diri beliau. Aura seorang perjuang bahasa begitu terasa dan memancar dari tiap kata dan lakunya hingga hati ini berbicara “Sungguh ‘KAYA’ personaliti ini… “! Tak hairanlah mengapa Allah amanahkan beliau dengan ‘aset’ yang tinggi nilainya, kerana sesungguhnya beliau memang layak untuk ‘tugasan’ itu.

Biasanya tidak sukar untuk saya menganalisa atau ‘melihat’ warna asas aura seseorang. Namun untuk personaliti ini agak sukar untuk saya menafsirkannya kerana apa yang ‘diperlihatkan’ di mata saya adalah gabungan warna-warna. Ada warna keunguan yang menampilkan nilai spiritualiti dan karismatikanya, ada warna biru menggambarkan ketulusan dan keikhlasannya, ada hijau sebagai ‘pecinta alam’ dan  ada kuning yang memancarkan daya kreatif dan minda aktif. Unik dan tersendiri.

Saat ini saya menulis sambil berfikir.. betapa saya harus terus berusaha untuk maju, terus istiqamah untuk makmur dan terus pasrah untuk mendapatkan hidayahNya lagi. Saya juga tahu bahawa saya harus terus menulis untuk memakmurkan ilmu dalam arena atau kategori saya. Meskipun rasa kecewa tetap ada tatkala singgah di MPH atau Popular dan mendapati buku saya yang bertajuk AURA sering tiada di RAK-RAK YANG BETUL atau tiada dalam stok; namun saya tahu bahawa TAJUK ini masih ‘hijau’ dan amat sedikit jumlahnya untuk jadi laris di pasaran.  Saya perlu menulis lagi agar tajuk-tajuk ini semakin memenuhi rak-rak buku lalu meningkatkan permintaan terhadapnya. Saya perlu menulis lagi agar segala yang saya tahu, dapat saya kongsi kerana mungkin itulah amanah DIA buat saya. Saya perlu menulis lagi kerana saya mahu memandaikan bangsa!

Saya dianugerahi peluang untuk ‘melihat’, bertemu dan rasa hampir dengan ‘wajah-wajah’ keindahan Yang maha Esa. Betapa DIA tebarkan kekayaan dan keindahan itu secara terang dan sulit ke sekelian alam untuk dicari, digali dan dinikmati oleh insan yang DIA rahmati. Saya berdoa untuk rahmat itu.

Mir Hazil Azran Ramli

100_5062

One Response to “Belajar menulis daripada Sifu PTS”

  1. eeeeeeee..seronoknye.kalau dapat sertai bengkel ni jugak.pada waktu cuti sekolah nii..

Leave a Reply