Archive for October, 2009

TRAVELOG BALI SEPT2009 – part 2

Posted in FAMILY on October 6, 2009 by mastershifoo

26 SEPT 2009 @ 07 SYAWAL 1430

Kami terjaga agak lewat hari ini. Mungkin kerana keletihan dengan pengembaraan semalam. Affiq dan Fiya tetap bersemangat, adrenalin mereka bagaikan tak surut. Selesai bersarapan di tepi Pantai Sanur kami  terus ke lobi untuk menaiki Pajero Pak Yasa yang seawal jam 9.00 pagi sudah menanti.

BALI DAY2

Destinasi pertama kami hari ini adalah Monumen Perjuangan Rakyat Bali di tengah Kota Renon, Denpasar. Berada di luar Monumen ini sahaja sudah mengagumkan dengan melihat mutu dan seni binaan monumen ini.

BALI DAY2 2

Berbentuk empat segi &  bujur sangkar dengan penerapan konsep  Tri Mandala iaitu:

  1. Utama Mandala  - sebagai  struktur binaan yang paling di tengah.
  2. Madya Mandala – sebagai struktur binaan yang mengitari struktur Utama Mandala.
  3. Nista Mandala – sebagai struktur binaan yang paling luar yang mengitari Madya Mandala.

Mandala umumnya membawa maksud LINGKARAN, sesuatu yang bulat sifatnya umpama sifat CHAKRA. Ia sering digunakan secara konsepsual bagi merujuk kepada sesuatu objek yang nyata. Dalam aplikasi praktikalnya, mandala menjadi nama umum untuk rencana yang merujuk kepada rajah, grafik, atau pola geometri yang mewakili secara metafizik atau simbolik, dari perspektif manusia. Ia sebagai sebuah OBJEK atau BENDA yang dapat memusatkan perhatian atau tarikan. Konsep Mandala digunakan oleh masyarakat lama dalam ritual keugamaan untuk menggambar, membentuk atau menjanakan PUSAT TENAGA kepada alam. Penghasilan lukisan atau OBJEK berbentuk MANDALA untuk berbagai tujuan dilakukan sebagai suatu ikhtiar atau doa untuk ‘mengundang’ kehadiran tenaga. Konsep mandala juga turut mempengaruhi SENIBINA ISLAM. Bentuk Kubah Masjid (dari perspektif atas), bentuk bangunan atau binaan (seperti MENARA KLCC), corak geometri Islam pada hiasan, lukisan dan sebagainya adalah antara contohnya konsep purba mandala ini.

mandala7 mandala6 mandala5 mandala4 mandala3 mandala1

Dalam Monumen Rakyat ini ditempatkan muzium bagi memperingati perjuangan rakyat Bali untuk mencapai ketemadunan dan kemerdekaan. Banyak info menarik dalam bentuk gambar, lukisan dan arca yang dipertontonkan di sini. Di sini juga saya mendapat info bahawa penempatan manusia di Bali telah bermula seawal kira-kira 2500 – 3000 tahun yang lalu. Kebudayaan Bali mendapat pengaruh kuat dari kebudayaan India, yang prosesnya semakin cepat setelah abad PERTAMA Masihi. Nama “Balidwipa” (pulau Bali) banyak ditemui dalam catatan sejarah lamanya.

Kami meneruskan kembara kami  menuju ke Pura Taman Ayun di Kabupaten Badung, Bali. Taman ini  dibangun pada tahun 1634 M oleh raja pertama Kerajaan Mengwi, I Gusti Agung Ngurah Made Agung yang bergelar Ida Cokorda Sakti Belambangan. Kerajaan Mengwi merupakan salah satu kerajaan kuat di Bali yang bertahan hingga tahun 1891. Pura ini dibangun sebagai tempat beribadah keluarga raja dan para pengikutnya. Berbeza dengan Pura lainnya di Bali yang ‘berkiblat‘ pada Gunung Agung, Pura Taman Ayun ‘berkiblat‘ ke Gunung Batukau.

BALI DAY2 11 BALI DAY2 7 BALI DAY2 14 BALI DAY2 9

Taman Ayun dalam bahasa Bali bermaksud ‘taman yang cantik‘. Taman ini di kelilingi oleh kolam air seolah-olah menjadikannya ‘terapung di tengah air’. Monumen atau bangunan asli, purba dan uniknya tersergam comel dalam berbagai saiz dalam kerangka susunan yang amat menarik. Panorama di sinilah yang mengisi gambar-gambar di ‘phamplet-phamplet’ tentang tarikan di Bali. Terpukau dengan seni bina di sini, saya dan anak-anak sempat merakam gambar aksi kami di sekitarnya.

Kini, Pajero Pak Yasa bergerak deras menuju utara Bali ke kawasan tasik di Bedugul. Tasik di kawasan tanah tinggi yang menyajikan panorama keindahan pemandangan flora dan fauna ciptaan Yang maha INDAH. Kawasan Bedugul ini merupakan kawasan pergunungan (tanah tinggi) yang subur dengan pelbagai hasil bumi. Sepanjang perjalanan, di setiap desa-desa yang ditempuh ada sahaja hasil sayuran dan buah-buahan  yang segar. Hasil bumi ini dijual di gerai-gerai dan di pasar besarnya yang tak ubah seperti di Cameron Highland di Malaysia.

BALI DAY2 16

Terdapat 3 tasik di kawasan tanah tinggi ini iaitu Tasik Bratan, Buyan dan Tamblingan. Lokasi Tasik Buyan dan Tamblingan adalah bersebelahan dan berada beberapa kilometer dari kawasan Tasik Bratan. Kami mendaki ke lokasi lebih tinggi untuk menikmati pemandangan kedua tasik ini iaitu di daerah Desa Gobleg. Kami berhenti di lokasi yang dapat melihat pemandangan di antara (di tengah-tengah) tasik-tasik ini. Sesuatu yang unik dan menarik.

BALI DAY2 18 BALI DAY2 20

Udara yang segar lagi dingin menambah efek pada rasa kagum kami menyaksikan kekuasaan penciptaan Allah. Hati ini tak putus-putus bertasbih ‘MasyaAllah’ sepanjang di sini. Lebih menarik lagi, pemandangan ini kekal aslinya, tidak diusik atau dicemar oleh pembangunan atau kerakusan manusia.

Setelah puas, kami berpatah balik ke kawasan Tasik Bratan. Perut yang lapar perlu diisi. Beberapa restoran makanan muslim  yang berhampiran dengan Masjid Al Hidayah di daerah Bedugul ini menjadi destinasi kami. Alhamdulillah atas nikmat dan pengalaman kami di  Bali yang di atur sempurna oleh-Nya.

BALI DAY2 23 BALI DAY2 30

Selesai makan, kami berjalan kaki menuju Pura Ulun Danu yang terletak di Tasik Bratan, Bedugul ini. Sekali lagi, suasana ‘pura’ (kuil / tempat ibadah) kami lihat dan pelajari. Walau lain penggayaannya, walau lain nama dan warnanya, namun halatujunya sama – pengabadian kepada yang ESA. Ada ‘ritual’ agama yang sedang berlangsung namun tak sedikitpun terganggu dengan kehadiran ratusan pengunjung untuk melawat ke pura ini. Permandangan di tepi Tasik Bratan di sini amat memukau. Sekali lagi, hanya kalam ‘Maha Suci Allah’ terus berirama di qalbu.

Telah banyak daerah diri ini berkesempatan untuk sampai, telah banyak warna alam yang dihayati, telah banyak panorama yang memukaukan sempat ditontoni dan dihayati.. NAMUN ‘rasa’ itu amat BERBEZA di sini. Benar! Saya bukan memuji, jauh sekali memuja.. saya hanya bicara soal ‘rasa’, soal jiwa yang terus mencari dan menikmati PERTUNJUKNYA di alam ini. Ada kelainannya di Bali.. mungkin kerana banyak energy yang ‘asli’ di sini. Mungkin juga pegangan kerohanian masih kental di sini atau mungkin juga berkat bulan Syawal yang kaya dengan KUASA FITRAH. Entahlah.. APAPUN, SAYA MASIH WARAS  walau TERFANA dengan pengalaman ini.

Tak sedar masa berlalu, kami bersantai hampir 2 jam di daerah ini. Menyedari hari kian sore, kami bergegas untuk ke Tanah Lot yang berada di Selatan Bali. Destinasi yang jauh dan masa yang agak suntuk menyebabkan Pak Yasa beraksi ala pemandu F1 yang baru insaf. Bukan mudah memandu di jalan-jalan kampong yang sempit dan ada ketikanya sibuk. Apatah lagi dihari minggu sebegini. Kali ini, dalam nafas yang suspen hati ini tak putus-putus ber ‘subhanallah’ dan ‘Allahuakbar’. Pun begitu wajah tua Pak Yasa tetap ‘cool’.

Alhamdulillah, kami sampai tepat jam 6.15 petang di Tanah Lot. Hari kian senja, beberapa minit lagi matahari akan berlabuh. Saat yang dikejarkan telah tiba, kami ke sini untuk melihat ‘sunset’ di Tanah Lot. Ratusan orang telah memenuhi daerah ini. Kami bergegas ke Tepi Pantai Tanah Lot mencari lokasi strategik untuk menonton ACARA ALAM di skrin layar dunia yang terbentang luas. Hampir sahaja terlepas kerana detik ‘tenggelamnya’ sang suria ke dasar lautan begitu pantas berlaku dalam kitaran beberada minit sahaja. Pun begitu ALHAMDULILLAH, kami diberi kesempatan itu dan melopong keasyikan seolah-olah baru pertama kali melihat aksi sang matahari terbenam. Seperti yang saya gambarkan tadi, ada kelainannya di sini. Yang biasa menjadi ‘luar biasa’!! Apatah lagi lagaknya yang ‘luar biasa’.. tentulah ia menjadi FENOMENA!!.

BALI DAY2 35 BALI DAY2 32

Selesai menikmati aksi sang siang bertransformasi menjadi malam di gigi pantai di lokasi  menarik di sekitar Tanah Lot ini, kami bersantai di gerai-gerai cenderamata berhampiran. Terasa agak rugi tak sampai awal ke sini kerana banyak lagi lokasi sekeliling yang tak sempat dijajah. Pun begitu diri ini puas. Masa bersama Sue tercinta dan anak-anak tersayang untuk bersantai di Bali ini amat besar ertinya buat saya. Ini pelaburan kasih sayang kami  yang akan menjadi DEPOSIT KEKAL sepanjang hayat.

Bersambung lagi…

Salam Nisfu Syawal & Reiki i-MEDIC

Posted in REIKI i-MEDIC, kata shifoo on October 4, 2009 by mastershifoo

Assalamualaikum..

SALAM NISFU SYAWAL.  Hari ini genab 14 SYAWAL 1430 menandakan telah tibanya PERTENGAHAN (NISFU) bagi bulan Syawal. Syawal bulan penuh kemenangan!! Hari ini, buat yang masih bersama saya di blog ini; GENAB SETAHUN anda berkunjung kemari! Sedar tak sedar dah SETAHUN USIA BLOG MASTERSHIFOO ni.

Setahun yang lalu, saya post-kan artikel NISFU SYAWAL tepat pada jam sebegini (cumanya tahun lepas 14 Syawal jatuh pada 14hb Oktober). Walaupun KALAM MULA blog ini telah saya mulai pada 24hb SEPTEMBER 2008 bersamaan 24 RAMADHAN 1429, namun hasrat untuk merajuk tidak saya teruskan apabila kehadiran blog ini mula saya canangkan kepada umum melalui artikel SELAMAT BERTEMU KEMBALI yang saya rakamkan di pentas ini beberapa minit selepas artikel NISFU SYAWAL saya kalamkan. DAN kehadiran KOMEN dari Az Zahra dan yang lain-lain tanggal ini kira-kira SETAHUN yang lalu amat menghiburkan diri saya.

Buat diriku yang lupa dan alpa, saya catatkan kembali pesanan yang pernah dicatatkan di pentas ini setahun (hijrah) yang lalu.. buat bekal, buat semangat, buat pegangan agar terus CEKAL & KENTAL!

Nifsu SYAWAL adalah MASA UNTUK MEMULAKAN PERUBAHAN.. Masa untuk HIJRAH!! Jika kita sering tertanya-tanya “bilakah masanya yang TERBAIK” untuk melakukan TRANSFORMASI DIRI.. HAH!!! inilah masanya! Ingat!! Ramai orang asyik dengan bulan syawal sebagai bulan kemenangan aka nak bersenang-senang, nak ‘enjoy’ makan semula.. pesta ‘open house’…nak tengok movie…dan sebagainya. Ramai yang LUPA bahawa kemenangan yang SEBENAR adalah KEINSAFAN & PENGHAYATAN perjuangan ramadhan. Lalu, tanpa sedar KEMENANGAN itu dinikmati dengan sia-sia hingga tak sedar masa itu berlalu pergi. Peluang itu harus dinanti dan dicari… ia ada di mana-mana dan ia milik mereka yang MAHU & LAYAK untuknya. Ambillah peluang ini, jangan biarkan ia berlalu pergi… isikan masa ini untuk memulakan ’sesuatu’ YANG BERMAKNA untuk menitip makna dalam kehidupan yang penuh makna.

masa untuk TRANSFORMASI HIJRAH DIRI!!

QUANTUM-SUKSES-bumble-b

Pada 15 SYAWAL TAHUN  lalu saya UMUMKAN SEBUAH TRANSFORMASI dalam arena REIKI KHASNYA bagi IQBC dan umumnya di Malaysia dengan HEBAHAN MAJLIS PEMBUKAAN REIKI i-MEDIC cawangan BANGSAR yang berlangsung dengan jayanya pada 19 SYAWAL 1429. Saya pilih tanggal 15 SYAWAL atas dasar mengharapkan LIMPAH RAHMAT-NYA. Saya pilih tarikh 19 SYAWAL juga atas dasar mengharapkan LIMPAH RAHMAT-NYA. Malah LOGO REIKI i-MEDIC saya LANCARKAN SECARA RASMI di blog ini pada 21 RAMADHAN 1429 juga atas dasar mengharapkan RAHMAT-NYA. BEGITU BESAR HARAPAN dan DOA saya untuk RiM, dan ia bukan hanya untuk saya TAPI ia adalah untuk mereka-mereka yang BERJUANG bersama-sama saya untuk menghasilkannya serta memartabatkan REIKI di tanahair tercinta ini.

Hari ini saya masih di sini. Pentas ini menjadi saksi PERJUANGAN SAYA di dalam ARENA yang saya pilih ini. Sembah syukur saya atas kekuatan yang ALLAH berikan untuk terus berada di arena ini. Saya masih ISTIQAMAH akannya kerana saya YAKIN ia adalah syarat untuk melihat kejayaan TERHASIL. Rasa MUHABBAT (CINTA) saya terus segar walau ada kalanya ia diuji oleh mereka-mereka yang di sekeliling saya. Saya MASIH BERJUANG.. meskipun adakalanya saya keseorangan dalam perjuangan ini. Saya masih TERUS BERDOA & BERHARAP agar obor RiM akan terus nyala buat suluh generasi akan datang.

logo-logo-reiki-i-medic-baru-2

HARI INI SAYA MASIH MENGINGATI SEMUA SAAT ITU.. SAYA TERUS GENGGAM BARA PERJUANGAN ITU.. dan saya akan TERUS selagi ada yang mahu. DOA saya agar detik 355 hari yang lalu ini TERUS SEGAR. TERUS BERHASIL dan TERUS SUCI sifatnya. NISFU SYAWAL MUNCUL LAGI… ayuhlah kita perbaharui SEMANGAT PERJUANGAN dengan lebih HEBAT LAGI!!!

Salam Syawal…

master G

PS: buat MASTER ISMI, takdir anda untuk KOMEN BUAT PERTAMA KALINYA di blog ini bagi artikel MAJLIS PEMBUKAAN REIKI i-MEDIC BANGSAR yang saya tulis HARI INI setahun yang lalu, AKHIRNYA MENJODOHKAN ANDA DENGAN IQBC. Apakah ia kebetulan.. atau suatu suratan?! Wallahualam…

PSS: buat MASTER LUTH, takdir anda untuk KOMEN BUAT PERTAMA KALINYA di blog ini PADA October 16, 2008 at 11:50 am BERSAMAAN 16 SYAWAL 1429 BAGI ARTIKEL YANG SAYA REPOSTKAN “alkisahnya-chef-harun”, AKHIRNYA MENJODOHKAN ANDA DENGAN IQBC. Apakah ia kebetulan.. atau suatu suratan?! Wallahualam…

PSSS: MASIHKAH KAU INGAT???

Rahsia Tarikh Lahir – Analisis 2010

Posted in Ilmu Nombor, Rahsia Tarikh Lahir on October 3, 2009 by mastershifoo

Salam Aura Kedamaian..

Kira-kira 90 hari lagi kita bakal menyambut kehadiran 2010. Tahun 2009 bakal berakhir dengan berbagai pengalaman dan cerita-ceritanya. Masa begitu pantas berlalu, dah 275 hari berlalu untuk tahun 2009. Usia bertambah saban hari. Hari ini usia saya dah  13614 hari iaitu 1945 minggu atau 447.3 bulan. SAHAM MAKIN TINGGI!! Nilai harganya naik saban hari. Pun begitu SEMAKIN HAMPIR TARIKH LUPUTNYA yang tak tahu bila. Jika ESOK LUPUTNYA, maka saya hanya ada kurang 24JAM untuk BERSEDIA MENGHADAPI SAKARATUL MAUT! Namun jika tarikh luput 10 tahun lagi, saya harus terus MENGGAYAKAN DENGAN HEBAT NILAI SAHAM YANG TINGGI INI, agar mulia di mata Illahi. Harus ada PERANCANGAN. Harus ada PERCATURAN untuk HARI ESOK.

2010AnnualCalendarLandscape3

Persiapan untuk menempuh jalan cerita 2010 pula harus bermula. Perlu ada perancangan dan impian yang jelas. Sedikit PANDUAN akan menjimatkan perhitungan dan menjelaskan halatuju demi mencapai impian. Adakah TAHUN 2010 TAHUN YANG MENCABAR? ADAKAH TAHUN 2010 TAHUN YANG MENYOKONG ATAU SEBALIKNYA? Panduan-panduan ini bakal menentukan arah pola pemikiran dan perancangan yang mahu dibuat.

Panduan hidup umpama PETA HIDUP. Sekiranya kita memerlukan peta untuk mudah sampai ke suatu destinasi, peta hidup juga mampu membantu kita untuk sampai ke ‘destinasi’ yang mahu ditujui (dicapai). Mana mungkin kita menggunakan peta PERAK untuk pergi ke MASJID SHAH ALAM yang berada di SELANGOR. Maka, peta yang tepat membantu memberi input yang tepat. Sampai atau tidak bergantung kepada REZEKI dan TAKDIR ILLAHI. Ikhtiar dan usaha kita akan menentukan hasilnya. Sekiranya usaha 99% dan nilai tawakkal 1% dikerah dengan PETA yang tepat, kebarangkalian HASIL yang bakal dicapai menjadi tinggi.

PETA HIDUP haruslah berpandukan SIAPA KITA. Umpama peta PERAK haruslah mengikut sifatnya (AF’AL) Negeri Perak. Bukan sekadar bergantung pada NAMA (ASMA)  iaitu PERAK kerana nama yang sama mungkin berada di negara yang lain. Antara SIFAT yang disuratkan buat kita adalah TAKDIR TARIKH LAHIR (dan masa) kita dilahirkan. Sifat ini milik kita, SURATAN kita dan TAKDIR kita. Ia ditulis sebagai KITA yang menceritakan DIRI KITA. Itulah yang membezakan kita dengan orang-orang disekeliling kita. Nama kita mungkin serupa, jantina juga serupa, rupa juga mungkin serupa, rambut sama hitamnya, saiz badan sama segaknya dan berbagai persamaan lagi NAMUN beza kita pada TAKDIR masa dan tarikh kelahiran kita.

gps

PETA TETAP PETA. Ia bukan ‘lokasi’ realiti sebenarnya. Ia HANYA PETA iaitu penunjuk ARAH. Umpama kita memasang GPS di mobil untuk memberitahu kita lokasi yang disetkan padanya. GPS ini tunjukkan DATA LOKASI TERSEBUT… sampai tak sampai kita ke sana adalah perkara lain. Jika kita ADA PETA dan PANDAI GUNA PETA, kita sampai awal dan TIDAKLAH SESAT JALAN atau KURANGLAH BERTANYA-TANYA ‘arah jalan’ yang harus diambil. Jika tiada PETA, KITA UMPAMA TIADA LAMPU. Malam yang GELAP tiada BULAN atau PELITA atau LAMPU. Kita teraba-raba. Mungkin TERSADUNG OBJEK di depan mata tapi tak nampak kerana gelap. Mungkin kita TERCEDERA.. mungkin kita PANIK & KETAKUTAN. Mungkin juga kita awal-awal TEWAS! dan tak mahu meneruskan jalan. Jika kita berhenti ditempat yang selamat, kita SELAMAT! Tapi andai kata kita berhenti di lokasi MARA BAHAYA.. kita hanya menanti SAAT KEHANCURAN kita.

Mahu atau tidak, setuju atau tidak, sedar atau tidak.. KITA MEMANG MENGGUNAKAN PETA HIDUP. Tak kiralah apa jenis peta yang kita pakai. Kita harus ada BANYAK PETA!. Walau PETA KITA SALAH, walau kita tak pandai pakai.. kita akan mengharapkan ada PETA HIDUP untuk kita tempohi perjalanan hidup ini. Kita akan tukar banyak PETA HIDUP kerana ada yang membantu dan ada yang tidak. Kesilapan menjadi pengalaman untuk kita tahu mana peta yang sesuai mana yang tidak. Ada peta yang MEMENINGKAN KEPALA, ada PETA YANG TERLALU RINGKAS, ada pula yang navigasinya songsang. Ada yang bersyarat ada yang tidak. Ada yang HEBAT dan ada yang SO BAD! Kita harus mencari PETA YANG SERASI buat kita.

PETA AGUNG adalah AL-QURAN & HADIS. Itu FARDHU AIN!! Namun AL-FURQAN juga memandukan kita beriman kepada kitab-kitab. Kata awal IQRA’ menyarankan kita kuasai ILMU MEMBACA, kerana ALLAH tahu kita PERLU MEMBACA PETA untuk menjalani dairi kehidupan ini. Ada ILMU JELAS dan ada pula ‘ILMU HIKMAH’ iaitu perlu difikir, direnung dan ditafsirkan berlandaskan keimanan yang tegap. Ada PETA HIDUP YANG JELAS dan ada PETA HIDUP YANG HIKMAH. Umpamanya Asma Allah dalam Al-Furqan mengatakan Allah maha mendengar dan maha berkata. Melaluinya kita belajar mendengar dan berkata, hingga akhirnya wujudnya berbagai bahasa, nada, irama dan lagu. Hingga akhirnya ada media radio, TV, astro, ‘handphone’, internet dan sebagainya yang memanjangkan kalam (kata-kata) untuk didengar dan dibicara. Asal PETA JELAS yang akhirnya kita berevolusi menjadi PETA HIKMAH.

SALAH SATU PETA HIKMAH KEHIDUPAN ADALAH FAKTA TARIKH LAHIR. Walaupun ianya bukan PETA MUTLAK kerana ada perhitungan (sifat / af’al) lain yang harus dipertimbangkan atau digunakan lagi, tapi ia SATU PERTUNJUK YANG JELAS ada pada kita.

Nama mungkin berubah. Nama mungkin ada dua atau tiga atau lebih lagi. Nama asli lain, nama manja (timangan) lain, nama di blog lain, nama di rumah lain dan sebagainya yang masih merujuk orang yang sama. Rupa juga boleh berubah. Di khalayak ramai, lain ‘rupa’nya, di rumah lain pula ‘rupa’nya di tikar sejadah bertukar ‘rupa’ dan bentuknya malah ketika dikapan kelak mungkin berubah lagi ‘rupa’ akhirnya. Kita mungkin makhluk yang ‘berupa-rupa’! Pun begitu yang nak dicatat di BATU NESAN adalah TARIKH LAHIR dan TARIKH MATI kita. Itulah TAKDIR KETENTUAN kita.

PETA HIDUP kita tersembunyi dibalik TAKDIR TARIKH KELAHIRAN KITA!. Itulah hakikatnya. Makin kita FAHAM PERTUNJUK YANG MAHA ESA INI, makin jelas kita akan SIAPA DIRI KITA. Tidakkah kita melihat TANDA-TANDA ini?? Allah memberinya secara jelas dan tersembunyi. Pada kita ada AURA.. iaitu GELOMBANG HAYAT kita, namun kita tak menyedarinya kerana KITA TAK DAPAT MELIHATNYA secara kasar. TAPI, TARIKH LAHIR bukan AURA (yang sifatnya tersembunyi). Ia JELAS LAGI TERANG ada pada kita. Adakah kita mahu MENIDAKKANNYA LAGI??!!

Peta saya 25hb JUN 1972 bersamaan 13 Jamidil Akhir 1392. Peta ANDA??

Peta saya pertunjuknya (dalam ILMU TARIKH LAHIR & NUMEROLOGY) adalah sebegini:

NUMEROLOGY-MIR-HAZIL-1

NUMEROLOGY-MIR-HAZIL-2

PETA ANDA??

Peta saya untuk 2009 adalah sebegini.. :

2009---analysis---mir-hazil

PETA 2009 ANDA???

Peta saya untuk 2010 pula menjangkakan begini..:

2010-analysis---mir-hazil

Peta 2010 ANDA???

Ada yang percaya, ada yang tidak. Ada yang menjadikannya sandaran, ada pula yang menjadikannya sempadan. Ianya berinformasi dan boleh membantu seseorang memahami POTENSI DIRI serta halatujunya. Pun begitu ia bukanlah sesuatu analisis yang mutlak atau ‘pasti’ ketepatannya. Ia hanya boleh dijadikan sandaran untuk memahami sifat atau rahsia alam diri seseorang. Lalu untuk itu, Pertimbangan sewajarnya amat diperlukan dalam menghadapi realiti kehidupan.Kita hanya merencana, kepada Yang Maha Penciptalah segala ketetapan dan ketentuan.

SAYA MENJUAL PETA & ILMU MENTAFSIR PETA. Jika anda berminat.. hubungi saya!!

017-333 2349 atau 017-300 2349

master G

Travelog Bali 2009 – Part 1

Posted in FAMILY on October 2, 2009 by mastershifoo

TRAVELOG BALI SEPT2009

25 SEPT 2009 @ 06 SYAWAL 1430

Sejak pagi Sue sibuk menyiapkan beg pakaian dan barang-barang untuk kami sekeluarga. Baru sahaja kembali dari berhari raya di kampung,  baju-baju yang di jemuran pun belum sempat kering, dah nak berjalan lagi.  Kali ini kami sekeluarga akan ke BALI.

Tiada perancangan yang khusus untuk percutian ini. Pun begitu, tempahan tiket pesawat dan hotel telah dibuat sebelum cuti raya lagi. Kesempatan Affiq dan Saffiya yang bercuti panjang untuk sambutan idul fitri ini harus kami isi dengan ‘jalan-jalan’. Akhirnya, destinasi Bali menjadi pilihan. Ya.. idul fitri di Bali!!

Tepat jam 3.00 petang kami bergerak ke LCCT, Sepang. Sempat tukar sedikit wang rupiah untuk belanja di Bali. Kami sekeluarga kongsi duit untuk bercuti kali ini, itu persetujuannya. Affiq dan Saffiya sanggup korbankan wang simpanan (dan koleksi wang raya) untuk memenuhi hasrat bersama ini. Itulah erti pengorbanan  yang  mahu dididik kepada anak-anak. Setelah ‘check-in’ di kaunter AirAsia, kami sekeluarga terus sahaja ke lobi perlepasan menanti pesawat yang sedikit lewat tiba.

bali16

Alhamdulillah, setelah terbang selama hampir 3 jam kami tiba di Bali kira-kira jam 8.30 malam. Terus sahaja ambil teksi ke Hotel Holiday Villa di Pantai Sanur. Sempat menikmati suasana malam sepanjang perjalanan dengan teksi. Monumen-monumen tradisi dan keagamaan kelihatan di merata ceruk.

Keekstreman budaya dan agama masyarakat di Bali begitu ketara dan jelas sifatnya. Kagum! Kalaulah nilai ini ada untuk Islam di tanahair..

Suasana di Hotel tenang sekali. Kamar-kamar bilik ala chalet seolah tersembunyi di celah pohon-pohon indah di dalam suasana taman. ‘Rasa’ cinta pada alam ini terus terbit. Kami rehat sebentar sebelum keluar jalan-jalan di kedai-kedai berhampiran. Misi untuk mencari kudapan dan air minuman berhasil.  Alhamdulillah, seperti diatur-atur, saya berkenalan dengan Pak Yasa di Lobi. Beliau seorang supir (pemandu) pelancong dan terus sahaja saya buat perancangan untuk jalan-jalan di sekitar Bali. Persetujuan dicapai, esok seawal pagi kami akan menjelajah pulau ini.  Malam itu semua keletihan dan tidur dengan nyaman sambil membayangkan hari esok..

26 SEPT 2009 @ 07 SYAWAL 1430

Subuh di Bali terasa awal. Walaupun waktu jamnya sama dengan Malaysia tapi masa (suasana) sebenarnya lebih awal sejam. Cepat cerahnya dan cepat senjanya walaupun jam masih muda. Selesai bersarapan kira-kira jam 8.30 pagi kami terus sahaja ke Lobi. Pak Yasa telah sedia menanti dengan Pajero-nya.

bali15

Penjelajahan kami bermula. Destinasi pertama – menyaksikan TARIAN BARONG & KERIS di Dewan Kesenian di Denpasar, Bali . Tidak lengkap bila ke Bali sekiranya tidak menyaksikan pertunjukan budaya ini. Kisah sejarahnya yang purba, penuh keaslian & kepercayaan ugama yang kuat dipersembahkan dalam sebuah teater budaya yang diwarnai dengan muzik gamelan, skrip sanskreta, gerak tari barong, gerak lakon penuh aksi & emosi dalam ‘prop’ yang berbagai warna.

barong bali14

kecak dance barong dance 3

Tari Barong merupakan sebuah tarian Bali yang diiringi dengan gamelan. Ia mengisahkan akan halnya dalam hati tiap manusia terdapat kebaikan dan keburukan, tarian ini menggambarkan pertarungan yang tiada akhir antara kebaikan dan kejahatan. Pertarungan nilai SUCI melawan NAFSU di dalam setiap diri. Tari Barong yang dibawakan oleh Catur Eka Budi, Kesiman, Denpasar, Bali ini adalah sekitar sejam dan terdapat adegan-adegan yang lucu yang membuat para penonton tidak bosan untuk menyaksikannya.

barong dance2

Tak sedar masa berlalu, para penonton terpaku dengan persembahan yang bersahaja penuh dramatik. Apatah lagi melihat keajaiban sekumpulan kesatria yang menghunuskan keris sambil menikam-nikam di dada sendiri tanpa mengalami kecederaan. Seolah ada kesurupan ‘kuasa’ luar biasa yang menjadikan mereka kebal. Meloponglah pelancong-pelancong barat yang memenuhi kerusi hadapan melihat keberanian dan ke’dewa’an yang dimiliki orang Melayu Bali ini. Saya juga kaget! Luar biasa ‘energi’ yang hadir di panggung ini. Kami sempat bergambar dengan ‘Barong’, sang haiwan purbakala yang besar pengaruh mistiknya di kepulauan ini (imej Barong boleh dikatakan ada di seluruh ceruk Bali dalam bentuk patung dan gambar ).

bali13 bali12

Kami meneruskan perjalanan kami. Singgah ke pusat penghasilan kain batik di sekitar Tohpati, Pusat Barangan Batik & Tenun Galuh di Batubulan dan hasil Perak di Celuk sebelum bergerak ke Ubud bagi melihat hasil kerja kayu & lukisan. Kami makan di sebuah restoran di Ubud yang berada di tepi sawah padi yang menghijau. Sempat juga melihat proses penghasilan lukisan dari artis jalanan di sini. Affiq dan Saffiya nampak terhibur dan kagum tatkala meneliti lukisan-lukisan yang ada, kedua mereka minatnya melukis. Seterusnya kami bergerak menaiki tanah tinggi menuju Batur dan Kintamani untuk menikmati pemandangan Gunung & Tasik Batur.

bali11

Sebaik turun dari mobil, angin sejuk terus saja menggigit tubuh kami. Suasana di tanah tinggi Batur ini dingin sekali walaupun di bawah cahaya matahari terik sekitar jam 3.00 petang. Nun di kejauhan berdiri gagah Gunung Batur yang berketinggian 1717 meter. Masih kelihatan bekas-bekas ledakan gunung berapi dari Gunung Batur ini. Menurut Pak Yasa, suatu masa dulu ia merupakan puncak gunung tertinggi di Bali. Pun begitu setelah ledakan besar gunung berapinya yang melimpah di persekitarannya, ia kini merupakan gunung berapi yang ke 3 tinggi di Bali selepas Gunung Agung dan Gunung Batukau. Udara di sini segar sekali, pemandangannya indah memukau. Cuma kehadiran penjaja-penjaja yang agak mendesak dan memujuk menjual hasil jualan agak kurang menyenangkan kami.

bali10 bali9

bali8 bali7

Kami meneruskan perjalanan menuju ke Pura (kuil) Gunung Kawi untuk menikmati keunikan monumen dan pemandangan di sana. Saya mempelajari banyak perkara sepanjang di Bali, antaranya adalah tentang kepercayaan kepada 3 Dewa Agung (trimuti) iaitu Brahma, Vishnu  & Shiva.

Trimurti adalah tiga kekuatan Brahman dalam menciptakan, memelihara, melebur alam beserta isinya. Fahaman ini menyatakan, Brahma mencipta alam dan memiliki kesaktian Dewi Saraswati yang merupakan dewi ilmu pengetahuan. Vishnu tugasnya memelihara penciptaan yang telah diciptakan manakala Shiva mehancurkan atau pelebur (memusnahkan kebatilan / kejahatan / kerosakan). Kuil atau Pura untuk setiap dewa ini kelihatan di setiap desa, dalam kata lainnya; setiap desa akan ada 3 Pura. Itu belum lagi kuil-kuil kecil yang dibina di halaman atau di dalam rumah. Agama Hindu di Bali amat kuat pengaruhnya. Menurut Pak Yasa, kira-kira 70% masyarakat Bali berugama Hindu. Pun begitu Hindu di Indonesia Bali banyak tercorak dengan adat, budaya dan bangsa di sini, makanya cara berpakaian, pengalaman dan ritualnya agak berbeza dengan penganut Hindu di Malaysia atau di India sendiri.

Tatkala menilai mutu iman dan mentaliti rakyat Bali dalam berugama, saya berpendapat mereka ini masih istiqamah dan ekstrem (berpegang kuat) kepada adat dan ritual agama. Mereka alim dan setia. Kepercayaan yang utuh ini jelas kelihatan dalam aktiviti kehidupan mereka dan ‘nilai’ itu terpancar dalam peradaban mereka. Orang Bali rata-ratanya amat sopan, ramah  dan rajin berusaha. Mereka memiliki kemahiran seni tangan samada seni ukir, pahat, tukang, lukis, tani, bina, tari, muzik dan sebagainya yang diwarisi dari generasi yang awal. Suntikan kretiviti dan peralihan zaman membawa hasil kerja mereka kepada mutu yang lebih tinggi namun masih asli. Ini amat mengkagumkan saya.

Dalam perjalanan pulang, kami singgah di Tegalalang untuk menikmati pemandangan sawah padi berteres di bukit-bukitnya. Suatu panorama yang asli dan unik, begitu memukaukan. Sama seperti melihat hasil kerja seni tangan dan seni bina orang Bali, pertanian juga menyerlahkan seni dan istiqamahnya. Tradisinya tidak tercemar walau zaman sudah moden dan berteknologi canggih, martabat adat dan tradisi benar-benar dijunjung demi terus memastikan ia diwarisi dan dinikmati. Sukar untuk melihat jentera mesin yang bekerja di Bali, semuanya manual iaitu sentuhan tulang empat kerat rakyatnya. Saya percaya mereka tidak miskin dan bukan faktor kekayaan (kemampuan) untuk bertransformasi atau berevolusi dalam kerjaya, namun nilai tradisi yang diagungkan dan mereka pilih untuk kekalkan selama mungkin fitrah itu. Samalah halnya dalam cara bertuhan untuk mereka, ritual harus kekal agar terus asli (fitrah) dan harmoni.  Saya belajar erti FITRAH.

bali6 bali5

Melalui jalan-jalan desa menuju Ubud, banyak hasil tukangan dan kraf kelihatan di kiri dan kanan jalan. Hinggalah tiba di Ubud, lambakan kedai-kedai cenderamata dan kraf ini memenuhi bandarnya sepanjang jalan kira-kira 4 km. Masa yang terhad tidak mengizinkan kami singgah, sekadar melihat penuh kagum hasil kerja  dan bakat yang ada di sini.  Kini kami menuju ke Batubulan. Hari kian gelap walaupu baru jam 6.00 petang.

Mungkin TUHAN mahu saya terus belajar erti FITRAH dalam kembara saya di Bali. Setiba di Bandar Batubulan, kami menempuh sekatan jalanraya polis yang sedang mengawal selia sebuah majlis perarakan keagamaan dan kemasyarakatan. Pak Yasa berhenti di sisi jalan dan ini mengizinkan saya turun untuk menyaksikan upacara perarakan ini lebih dekat. Lautan manusia berada di kiri-kanan jalanraya menyaksikan ratusan rakyat dalam pelbagai kostum berjalan dalam berkumpulan, berarak sambil diiringi paluan gong, rebana muzik gamelan. Sempat mencuri dengar perbualan Pak Polisi yang ada di situ, menurutnya upacara besar ini hanya berlaku 4 hingga 5 tahun sekali. Jumlah peserta yang berarak tahun ini pula panjangnya hampir 5 – 6 km dan acara perarakan telah bermula sejak jam 2.00 petang tadi. Saya melihat berbagai ragam orang, usia, jantina, gelagat, warna,  budaya, adat dan ritual di sini. Yang pasti, saya lihat setiap wajah yang ‘hadir’ penuh keikhlasan. Bukan dipaksa atau bukan dibayar untuk melakukannya. Mereka mewakili diri mereka untuk desa mereka demi agama mereka. Itulah fitrah dalam tuntutan ibadat buat mereka. Entahlah.. mungkin saya salah menilai, tapi itulah yang saya faham.

BALI3 BALI2

BALI1

Saya tidak lama di situ, harus bergegas untuk menyaksikan pertunjukan tarian Kecak & Api di Chandra Budaya, Batubulan, Gianyar Bali yang akan bermula jam 6.30 petang. Hari sudah senja dan semakin gelap.  Sekali lagi kami pergi menonton persembahan tarian tradisi Bali ini. Kali ini di tempat yang berbeza dengan persembahan yang berbeza.

Kumpulan seramai 50 – 60 orang ini membuat persembahan tanpa diiringi alat muzik. Hanya sorakan ‘cak-cak’ yang bersahutan tanpa henti selama hampir sejam sambil mengiringi persembahan ala pentomin. Penuh dramatik, sensual, artistik, seni dan ‘roh’. Dewan yang penuh dengan pelancong dari seluruh ceruk dunia ini ‘terpaku’ dengan cerita epik yang dipertontonkan. Sekali lagi, ada kesurupan ‘energi’ luar biasa yang diselitkan di penghujung penceritaan. Kali ini sang aktor kebal bermain api yang dimarakkan hingga api-api itu tunduk padam kepadanya.

Puas dengan persembahan Kecak, kami berangkat pulang ke Sanur. Anak-anak keletihan tertidur di mobil sepanjang perjalanan pulang. Kami sempat makan malam masakan Padang yang enak sebelum balik ke hotel. Suatu hari yang panjang dan penuh pengalaman menarik. Terasa masa begitu pantas berlalu..

Bersambung…