TRAVELOG – Thailand Jun 2009 – Part 2
Hari ke 2 – 09062009
Subuh di Pattaya terasa nyaman. Mungkin ‘mood’ bercuti mempengaruhi penilaian, namun suasana di persekitaran rumah Master Zai nyata aman sekali. Saya begitu kagum dengan keluarga Master Zai ni.. rumah begitu kemas dan terhias. Kehadiran kucing-kucing yang dibela oleh keluarga ini begitu menghiburkan. Amat rukun dan tertib. Fiya & Affiq tak lepaskan peluang untuk menikmati suasana ini.. bermain dengan kucing. Maklumlah, di rumah sendiri tak dapat nak merasa sebab tak bela kucing. Fiya juga asyik melayan koleksi motor Honda milik Abang Azri. Affiq pula seronok melihat koleksi item ‘Coca-Cola’ di ruang tamu.
Rumah Master Zai
Antara kucing-kucing kesayangan keluarga ini.
Koleksi motor Honda Abang Azri..
Koleksi barangan ‘Coca-Cola’
Pagi hari kedua selesai bersarapan kami bersiap untuk ‘jalan-jalan’ di Kota Pattaya. Pattaya terkenal sebagai syurga percutian untuk ramai warga dunia. Destinasi hebat ini tak pernah sunyi dari kehadiran pelancong luar. Pagi itu kami ke pasar ala ‘uptown’ yang menjual aneka ragam barangan. Dari pakaian, tas tangan, kasut-kasut, aksesori wanita, perhiasan dan sebagainya ada dijual dengan harga yang berpatutan (kira murah jugak la). Walaupun panas dan sedikit sesak, hampir 2 jam juga kami menghabiskan masa di sana. Sempat juga ‘menjamu mata’ melihat berbagai keletah pelancong dan pengunjung.
Sempadan bahasa masih terasa, namun yang pasti masyarakat Pattaya begitu sopan. Ucapan ‘sawadikap’ & ‘kapkunkap’ sentiasa di bibir mereka. Bukan mahu memuji namun itulah hakikatnya yang saya perhatikan di sini. Begitu juga budaya ‘pembersih’, akhlak ini nampak tersemai tanpa dipaksa. Halaman rumah, premis kedai, tepi-tepi jalan, tempat awam (termasuk tandas awam) terjaga bersih. Sepanjang di Thailand, senario inilah yang saya perasan. Saya cuba mencari kesalahan demi kesalahan untuk menyatakan dengan bangganya bahawa Negara kita lebih bertamadun, maju dan bagus, namun hakikat yang saya terima, ternyata berbeza. Mungkin negara mereka tidak semaju negara kita, namun akhlak dan budaya masih rapi terjaga tradisinya. Lebih terasa apabila mereka bukanlah negara Islam.
Master Zai & Abang Azri
Seterusnya saya dan keluarga melawat ke beberapa tempat yang menarik di sekitar Pattaya. Antaranya adalah menikmati pemandangan indah seluruh Pattaya dari puncak bukit tertinggi di sini. Pemandangan yang begitu indah dan mengasyikkan. Kami juga melungsuri jalan-jalan utama di Pattaya sambil menikmati pemandangan kotanya di waktu siang. Kami sempat singgah di kedai kraf untuk ber’shopping’ dan melihat keunikan kraftangan rakyat Thai.
Master Zai & Sue – Pattaya City
Malamnya, selesai solat maghrib, kami sambung sesi jelajah Pattaya. Kali ini melihat kota ini pada suasana malamnya pula. Kami melalui beberapa jalan-jalan yang sama yang telah kami lalui pada sebelah siangnya. Cahaya neon dan kesibukannya nyata berbeza. Aktiviti malam menghidupkan lagi kota Pattaya terutama di sekitar hotel-hotel di sepanjang pantainya. Kesempatan untuk singgah di Kafe Hard Rock Pattaya tidak saya lepaskan. Sambil menambah koleksi Topi dan kemeja-T Hard Rock yang sedia ada, saya mengambil peluang ini untuk bergambar dengan famili. Selesai makan angin di jalan sepanjang pantai Pattaya, kami ke pusat membeli belah serba moden di sini. Tak banyak berbeza dengan yang ada di Malaysia, namun tahap layanan dan mutu kebersihan masih mengagumkan saya.
Sebelum pulang, kami berpeluang untuk berada di puncak tertinggi kota Pattaya untuk menikmati pemandangan malam seluruh kota dari puncak ini. Saya begitu BERTERIMA KASIH pada Abang Azri yang tak jemu dan letih membawa kami merayau-rayau seharian. Kagum dengan pasangan ini.. keakraban dan kemesraan yang tiada tandingan. Sungguh saya merasa berbesar hati dan bersyukur atas perhubungan ini.
(bersambung lagi..)















June 30, 2009 at 12:25 am
Terima Kasih pada Kak Zai, Abg. Azri serta 4 orang puteri mereka. Hadiah dan perbuatan baik yang kecil lagi dikenang dan menjadi besar di hati kami.., inikan pula layanan besar dan istimewa dari orang yang tidak disangka. Memori ini akan terus terpahat di hati. Empat hari di sana, terasa waktu begitu pantas berlalu dengan aktiviti yang padat setiap hari. Pelbagai makanan dijamu dan banyak tempat yang mereka bawa kami kunjungi. Begitu sebak rasanya ketika bersalaman dan berpelukan sebelum berangkat pulang seperti sudah bertahun mengenali keluarga ini.
Maklumlah di dalam perjalanan kami, sentiasa ada yang datang dan pergi. Ada yang kerap berkunjung… ada yang pergi dan kembali lagi… dan ada yang terus menghilang tanpa khabar berita. Apapun, semua itu adalah pengalaman hidup. Yang indah kami semadikan di hati, dan yang tercalar itu menjadi peringatan kepada kami sebagai manusia biasa yang masih diduga dan harus terus membina kekuatan diri.
InsyaAllah, jika ada rezeki dan masa yang sesuai, kami akan berkunjung ke Brighton pula menziarahi Master Adnin & Soraya sekeluarga. Tahniah di atas kehadiran bayi baru. Tercapai juga impian Master Adnin & Soraya nak mempunyai seorang lagi anak di sana. Harap terus memberi khabar berita buat kami di sini. Buat Soraya.., Doa kami “Semoga Cepat Sembuh.”
June 30, 2009 at 8:27 am
Tap..tap..tap..
Jelajah diserata dunia utk koleksi Hard Rok Cafe.. hahaha
June 30, 2009 at 5:41 pm
Oit.. hahha, saya mau 8… tap,tap