Kenangan terindah…

Muhammad Afdlin Damia bin Hazil Azran
14hb Julai, 1997 – 4hb Mei, 1999

KENANGAN TERINDAH

Afdlin…10 tahun dulu, tanggal ini; kau hadir melengkapkan hidup kami. Sebagai pasangan muda yang masih merasakan kehangatan alam rumah-tangga, kehadiranmu umpama sebutir intan yang bercahaya menyinari hari-hari kami. Hidup terasa begitu sempurna kala itu, ayah miliki segalanya; kerjaya, rumah impian, kereta baru, isteri yang manis serta kamu. Hari-hari kita penuh warna malah kamu mengajar kami tentang erti ibu & bapa. Kehadiranmu bukan hanya membawa keceriaan, malah berkat rezekimu hidup kita semakin berada pada puncaknya kita itu.Afdlin… tika itu, masa berlalu terlalu pantas buat kami. Kau begitu cepat membesar dan saban hari kami dipenuhi keajaiban demi keajaiban. Sedar tak sedar, ibu selamat melahirkan adik… tentunya selain ayah, kau lah insan yang paling gembira saat itu. Walau usiamu baru setahun jagung, kepetahanmu cukup menggambarkan rasa girangmu dengan kehadiran Affiq. Bagaikan ada sesuatu yang mahu kamu sampaikan & gambarkan masa itu.. tapi malangnya, ayah terlalu bebal untuk memahami ’bahasamu’ tika itu kerana tengelam pada rasa gembira dan bangga dengan kesempurnaan yang ayah kecapi. Apatah lagi, kehadiran adikmu tika itu menjadikan hidup kita semakin sempurna.

Afdlin… Betapa tinggi kasih dan sayang kami padamu, DIA lebih menyayangimu dan itulah HAKIKAT yang harus kami telan tika itu. Tatkala usia adik baru 3 minggu, kau menamatkan nohtah hayatmu di alam ini. Tiada siapa yang sangka, lebih-lebih lagi ayah. Malah, ayah tiada di sisimu tika itu. Bagai bom HIROSHIMA, segala cahaya yang kau bawa tiba-tiba hilang dalam hidup kami. Ayah akur dengan keputusanNya.

Afdlin… TERIMA KASIH atas sebuah pengelaman yang kau berikan. Kini, ayah semakin dewasa kerananya dan ayah tahu ayah tidak akan tiba pada tahap ini tanpamu. Kami merinduimu…kami akan terus mengenangkanmu. Kau tidak pernah hilang kerana kau berada di dalam kami. Bukan kesedihan lagi yang kami lalui dan takuti, kami semakin berani dan tabah keranamu. Kau KENANGAN TERINDAH kami!

Ayah – 01Rejab1428

Leave a Reply