Kalam Mula…
Assalamualaikum…
Salam mula – kalam pembuka bicara…
Alhamdulillah, Pentas ini mula diwarna pada hari penuh keberkatan; 24hb Ramadhan 1429 bersamaan 24hb September 2008. Mudah-mudahan salam ini berpanjangan… kalam ini bersebaran (dibaca: bercahaya) memenuhi ruang kegelapan ruang pentas ini. Umpama jiwa yang gelap memohon kehadiran cahayaNYA. Hanya DIA (HUWA) yang bercahaya, segala keindahan cahaya milikNYA jua.
HARI INI, 1442 tahun lalu; RASUL bersendirian dalam gelap GUA HIRA bermunajat penuh kepasrahannya ke hadzrat Illahi, memohon NUR CAHAYA.. memohon SINAR buat diri, keluarga dan seluruh umat manusia. Rasul tegap qiam penuh istiqamah dalam khalwatnya, dalam pasrahnya, dalam ikhlasnya, dalam redhanya.. menanti dan terus menanti NUR CAHAYA itu. Hinggalah….
HARI INI, 1442 tahun lalu.. JIBRIL menampilkan diri untuk pertama kalinya di hadapan insan mulia yang pada hari tersebut telah menerima IJAZAH PERTAMA tanda tauliah sebagai RASUL ALLAH, sebagai rasul yang tersudah (dibaca: terakhir).. sebagai rasul yang membawa HARI NAN INDAH (dibaca: harapan yang indah).
HARI INI. 1442 tahun lalu… CAHAYA HIJAU itu datang, menakap erat tubuh rasul sambil menyeru tegas : IQRA’!! (dibaca: BACALAH!!)…
HARI INI, 1442 tahun lalu… sebuah SEJARAH TERAGUNG terukir… sejarah yang telah mengubah dunia dan segala isinya.. yang telah membawa SINAR CAHYA yang berspektrumkan HARAPAN, IMPIAN, HIDAYAH, SYAFAAT, MUKJIZAT dan segala yang dijanji buat umat manusia.. buat umatnya… buat umat MUHAMMAD s.a.w.
Lalu, hari ini; meminjam keajaiban anugerah cahaya 1442 tahun yang lalu.. dengan pasrah; ku mulakan kalam fakir ku ini….
master G
PS: Pendapat menyatakan bahawa Al-Quran telah diturunkan pada malam Isnin, tanggal 24 Ramadhan (13 Ogos 610 M). Pendapat ini berdasarkan ayat 1 Surah Al-Qadr dan ayat 1-4 Surah Ad-Dukhan. Apabila diteliti dengan lebih lanjut, yakni dengan menghubungkan hadis-hadis tentang turunnya Al-Quran, iaitu pada Lailatul-Qadar dan kelahiran Rasullullah pada hari Isnin serta pada catatan-catatan waktu di dalam takwim, maka akan diperolehi kesimpulan yang lebih tepat, iaitu Al-Quran diturunkan pada hari Isnin, malam 24 bulan Ramadhan, 13 tahun sebelum Rasullulah saw berhijrah ke Madinah.
Menurut para mufassirin, Al-Quran yang diturunkan pada malam “Lailatul Qadar” sebagaimana disebut di atas adalah Al-Quran yang turun sekaligus di “Baitul Izzah” di langit dunia. Sedangkan Al-Quran yang diturunkan ke bumi dan diterima Rasullullah sebagai wahyu terjadi secara beransur-ansur selama sekitar 23 tahun. Adapun ayat-ayat yang pertama diturunkan (diwahyukan) kepada Nabi Muhammad saw adalah ayat 1-5 surah Al-’Alaq.
