Archive for September, 2008

Pulang berhari raya..

Posted in kata shifoo on September 29, 2008 by mastershifoo

Salam semua…

Saya pasti, saat ini ramai yang dah pulang ke kampung halaman untuk berhari raya. Mungkin ada yang di dalam perjalanan.. mungkin ada yang sedang bersiap-siap untuk pulang dan sebagainya. Apapun situasinya, dimanapun distinasinya… matlamat hampir sama, untuk pulang berhari raya.

Kemeriahan dan suasana indah berhari raya pasti menjadi harapan & impian setiap dari kita. Maka, pastikan jiwa kita pasrah mengharapkan rahmat & hidayahNya dihari lebaran ini dan hari-hari seterusnya. Jangan ada risau atau ragu-ragu terhadap NikmatNya itu, kelak magnet aura kita hanya akan menarik lebih banyak kerisauan & keraguan dalam hidup. Hayati setiap saat yang dianugerahkan… raikan dengan penuh kesyukuran… bersederhana dan ‘hadir’ dalam setiap perlakuan. Hari Raya Fitrah mendekatkan diri hambaNya kepada FITRAH… namun, janganlah pula ditempel terlalu banyak topeng-topeng hingga menutup kefitrahan itu. Jadilah diri kita seadanya.. ‘hadir’kan setiap waktu dengan rasa ‘fitrah’ itu… kesempurnaan dan kedamaian pasti menghampiri kita.

Selamat pulang berhari raya… tingkatkan kepekaan dan doa (hayati terus) keselamatan. Semoga Eid’ul Fitri hadir penuh Nasma Auranya… buat bekal sebuah permulaan yang baru.

Salam Eid’ul Mubarak!!

Master G

Salam Eidul Fitri 1429

Posted in kata shifoo on September 28, 2008 by mastershifoo

Saya bagi pihak DIRI dan KELUARGA serta wargakerja IQBC Sdn Bhd, dengan rendah diri memohon kemaafan andai ada kesilapan dan kekurangan yang tidak disengajakan sepanjang perhubungan yang terbina. Jika hubungan ini kian dingin, harapan saya agar kita HIDUP DAN PANAS kan ia kembali, jika hubungan ini AKRAB, harapan saya agar kita TERUS SUBURKAN ia, jika hubungan ini belum bermula; ayuh kita mulakan di hari mulia ini.

SALAM EID’UL FITRI – MAAF ZAHIR & BATIN

Master G


Reposting: Pelancaran LOGO Reiki i-Medic

Posted in REIKI i-MEDIC, kata shifoo on September 28, 2008 by mastershifoo

PELANCARAN LOGO REIKI i-MEDIC

Assalamualaikum…

Hari ini; Ahad – 21hb September, 2008 bersamaan dengan 21hb Ramadhan, 1429 bakal menyaksikan suatu lagi PERISTIWA BERSEJARAH untuk perjalanan Innergy Quest Bio Concept Sdn Bhd dalam arena Seni Penyembuhan Reiki di Malaysia. Hari ini dengan bangganya, saya menwakili IQBC Sdn Bhd MELANCARKAN LOGO untuk Pusat Terapi Penyembuhan Reiki Bio-energi yang mulai hari ini akan dikenali sebagai REIKI i-MEDIC.

Alhamdulillah, setelah melalui banyak fasa pengorakkan; Reiki beransur-ansur telah berjaya dipersembahkan dengan cara yang lebih jujur, tertib dan sejajar dengan peredaran masa. Suatu masa dulu, Reiki sering disalah tafsirkan (terutama oleh masyarakat melayu) semata-mata kerana ‘gaya’ ia dipertontonkan atau dipraktiskan kepada umum. Ramai yang beranggapan ia adalah seni rawatan rojak ala tradisional, spiritual dan sebagainya. Namun, sejak Centre IQBC wujud (2003) saya telah berusaha keras untuk mempromosikan seni terapi ini serta memperbetulkan cara persembahannya agar mudah (dibaca: dapat) diterima oleh masyarakat serta ramai yang boleh mendapat manfaatnya. Antara usaha yang telah dilakukan:

  1. Menyediakan khidmatan Sesi Terapi ‘Hands-on’ Reiki untuk keharmonian nasma aura, chakra dan seterusnya system bio-energi tubuh.
  2. Memperkenalkan konsep Ruang Terapi Reiki yang bersuasana harmoni, santai dan merehatkan. Tatahias dalaman yang ‘simple’, zen dan selesa disediakan bagi membangkitkan suasana ‘healing’ sepanjang sesi terapi.
  3. Menyediakan kursus-kursus Reiki secara ILMIAH dan lebih lengkap (sesi latihan/kursus yang lebih lama)
  4. Menyediakan dan mengemaskinikan Manual-manual Reiki (bahasa Ingggeris) serta menghasilkan Manual Bahasa Melayu (pertama di Malaysia).
  5. Menyediakan POSTER REIKI yang mengambarkan SESI TERAPI HANDS-ON untuk ‘self healing’ dan ‘treating others’.
  6. Menyediakan VCD – Sesi Terapi Reiki ‘self healing’ & ‘treating others’. Pertama di Malaysia.
  7. Meng’uplode’kan sesi video ‘self healing’ ke Youtube.com pada November 2007. Pada masa tersebut, video ini merupakan video Reiki sesi ‘hands-on’ secara ‘full session’ berbahasa MELAYU yang pertama (di dunia) yang di uplodekan di Youtube. Semak: http://www.youtube.com/results?search_query=reiki&search_sort=video_date_uploaded&page=15
  8. Melakukan demontrasi pengenalan kepada seni terapi Reiki di Karnival, Ekspo serta di program-program yang berorentasikan penjagaan kesihatan secara terbuka, professional dan jujur.
  9. Menjemput dan mendaftarkan pengamal-pengamal Reiki di bawah Persatuan Terapi Komplementari Malaysia.
  10. Secara aktif terlibat dalam proses memberi info terapi Reiki bagi penyediaan Akta Rawatan Komplementari & Tradisional yang akan diwartakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia tidak lama lagi. Malah turut memberi maklumat dan input untuk penyusunan silibus pembelajaran Reiki secara akademik di Malaysia yang kelak akan ditawarkan di institusi pengajian tinggi.
  11. Menghasilkan BUKU AURA PENYEMBUHAN REIKI; buku Reiki (juga buku aura) yang pertama di Malaysia.
  12. Menyediakan Program Latihan Intensif – “Program JURUTERAPI REIKI BIO-ENERGI” untuk menghasilkan pengamal Reiki yang berpengalaman, bertauliah dan berdisiplin tinggi dalam etika pengamalan Terapi Reiki IQBC. Seramai 18 graduan telah berjaya dihasilkan melalui program yang dimulakan setahun yang lalu.

Banyak lagi perkembangan yang dilalui. Pengalaman telah mendewasakan IQBC serta mereka-mereka yang terus menyokong dan bersama. Lalu kini, proses ‘rebranding’ untuk ‘Reiki Bio-energy Healing Centre’ ini dikemaskinikan lagi agar lebih GAH, HARMONI dan PROFESIONAL.

Semoga dengan nama yang lebih gah, jelas dan bergaya ini, para juruterapi IQBC akan lebih bersemangat, bersungguh-sungguh serta berusaha 100X ganda untuk MEMARTABATKAN nama ini di Malaysia sebagai sebuah Pusat Kerehatan dan Kesihatan Bio-energi yang UNGGUL!.

“Saya lafaz BASMALLAH, dengan ini juga MEMAKLUMKAN dan MERASMIKAN (melancarkan) PUSAT REIKI i-MEDIC, beralamat di 2-0-1, Ground Floor, Komplek Niaga Utama, Jalan Bangsar Utama 1, BANGSAR, KUALA LUMPUR. yang akan dinahodai oleh Juruterapi Master Nurulhuda & Juruterapi Master Jehanshah Tan Sri Hanafiah.

Mudah-mudahan BAROKAH Ramadhan almabruk serta RAHMAT hari 10 akhir ramadhan ini (Rahsia Lailatul Qadr) bakal menyinari USAHA, IKHTIAR & DOA-DOA kita dalam memakmur & memartabatkan REIKI i_MEDIC di Malaysia. InsyaAllah, majlis pelancaran di pusat tersebut akan dimaklumkan kelak.

TAHNIAH untuk Pn Sue IQBC, Tahniah untuk Master Nurul & Master Jehanshah. Semoga usaha ini menjadi PERINTIS buat mereka yang lain yang berminat dan berpotensi. Ayuh MARA!!

Salam Hormat..

Mir Master G

Reposting: artikel yang hilang..

Posted in kata shifoo on September 28, 2008 by mastershifoo

Salam Ramadhan…

HARI INI kita telah melewati 8hb Ramadhan, 1429. Pantas masa berlalu.. Ramadhan terus makmur dijiwa-jiwa yang mencari ketenangan.

Jiwa yang tenang tidaklah bermaksud akan kekal tenang selamanya. Sesekali RASA AMARAH boleh menyerang untuk mengganggu-gugat diam riaknya. Amarah sering menjadi musuh buat jiwa, tanpa diundang tanpa diminta; wabak atau virusnya bisa menggegarkan jiwa.

Pengamal REIKI dididik dengan PRINSIP SUCINYA. Katamula prinsip ini menyentuh perihal amarah dengan menyebut: KU PADAMKAN API KEMARAHAN… Buat mereka yang tak lekang ucapan prinsip Reiki sebagai afirmasinya saban hari, kata sikap amarah ini dinilai dari sudut yang dalam dan pelbagai.

Hakikat Marah

Secara ILMU KOMUNIKASI: marah hakikatnya adalah salah satu bentuk dari komunikasi seseorang. Kala seseorang marah, ertinya dia sedang berupaya menyampaikan pesan kepada orang lain. Bentuk penyampaiannya berbeza-beza, dan ia bergantung pada lingkungan dan kondisi sosial budaya yang membentuk keperibadian seseorang itu. Ada orang yang DIAM tatkala dia marah seolah-olah tiada kemampuan untuk dirinya mengekspresikan perasaannya ketika itu. Ada pula yang TERLEBIH EKSPRESI dengan sikap yang terlalu berterus-terang dalam mengungkapkan perasaannya. Ada yang berbicara lembut walaupun di dalam perasaan marah. Ada juga yang berbahasa kasar malah ada yang berbahasa KESAT bila marah.

Menurut kacamata ILMU PSIKOLOGI; marah adalah sebahagian dari sikap emosi. Sikap emosi ada yang bersifat positif dan ada yang sebaliknya. Jika gembira itu dilihat emosi yang positif, marah dinilai sebagai psikologi yang negatif. Ahli Psikologi berpendapat; penyebab marah itu berbeza-beza untuk setiap orang namun asas kemarahan tercetus umumnya adalah sama iaitu dari lingkungan kerana kekecewaan, tersinggung, keliru, merajuk atau tabiatnya sendiri.

Ada juga sikap kemarahan yang terjadi kerana trauma atau pengalaman seseorang di masa lalunya. Sikap ini dikenali sebagai fasa predisposisi atau fasa perkembangan yang tertentu. Mereka yang mempunyai pengalaman yang buruk seperti tekanan perasaan atau sering didera (dimarahi) akan memupuk ciri atau tabiat kemarahan ini di dalam dirinya, lalu apabila dipicu akan meledaklah ia keluar dari orang tersebut.

Sikap emosi seseorang selama ini dinilai akan dipengaruhi oleh faktor lingkungannya. Faktor lingkungan memang berpengaruh sebagai musabab sekaligus pemicu kemarahan seseorang, tetapi sebenarnya faktor lingkungan amat bergantung pada faktor internal, iaitu kestabilan emosi. Dalam lingkungan yang sama, dua orang berbeza akan memberi reaksi berbeza dalam menghadapi masalah yang sama, bergantung pada cara kendali diri yang dimiliki orang tersebut. Orang yang ritma hidup dan denyut jantungnya lebih cepat, ketika dihadapkan pada situasi lebih lambat, dia akan stres dan mudah marah. Begitu pun sebaliknya, orang yang emosinya tenang dan lambat jika dia masuk ke situasi yang lebih cepat, dia akan cepat marah dan stres.

Sementara dari kajian ilmu jiwa atau psikiatri; marah akan lebih dikenal sebagai bentuk gejala atau simtom suatu penyakit dalam tubuh seseorang. Telah terbukti jika seseorang yang sakit akan lebih mudah marah kerana penyakit yang dideritainya. Marah digolongkan ke dalam jenis gejala agresif yang positif karena merupakan ekspresi emosi yang ditampakkan. Penyebabnya disebut dengan istilah impuls atau dorongan. Jenis impuls ini ada bermacam-macam, mulai dari kondisi lingkungan yang tidak kondusif dan penuh tekanan, makanan yang berprotein tinggi, rendahnya kadar oksigen pada otak, dan status hormon dalam tubuh.

Sama seperti dalam kajian psikologi, faktor lingkungan dianggap sebagai salah satu penyebab timbulnya kemarahan pada diri seseorang. Seseorang yang berprofesion sebagai pemandu kenderaan akan lebih mudah marah berbanding dengan seseorang yang bekerja di pejabat. Keadaan lingkungan yang penuh tekanan, bising, dan panas akan memacu emosi seseorang berada dalam kondisi yang tinggi walaupun pengambilan makanan yang berprotein rendah. Menurut kajian, makanan yang berprotein tinggi, seperti daging kambing, akan cenderung untuk memicu seseorang kepada sikap marah kerana meningkatkan hormon-hormon tertentu dalam tubuh. Begitu pula dengan kurangnya oksigen pada otak yang membuat kesadaran seseorang menjadi turun dan akan menyebabkan stimulasi yang negatif.

Dari segi sistem hormon pula; seseorang menjadi mudah marah jika kadar hormon pemicu kemarahan tidak berada pada kadar semestinya. Secara ringkasnya, proses kemarahan dalam tubuh akan diransang dengan bermulanya impuls yang diterima oleh sistem limbik (pusat emosi) di hypothalamus yang terletak di otak tengah. Penerimaan impuls tersebut merangsang peningkatan neurotransmitter dompamine pada neuron otak. Setelah itu, rangsangan diteruskan ke hypophycis yang kemudian dikirim ke bahagian lain tubuhnya, seperti bahagian penghasil hormon-hormon yang memacu daya denyutan jantung, pupil mata membesar dan lain-lain. Contoh hormon tersebut adalah seperti epinefrin, noreprinefrin, serotonin, dan testosteron.

Ketidakseimbangan kadar hormon samada lebih ataupun kurang – akan menyebabkan seseorang mudah marah. Perihal ini biasa dilihat terjadi kepada kaum wanita semasa sedang menstruasi ataupun kepada kaum adam yang hormon testosteron dan progesteronnya sudah mulai menurun. Hal tersebut mengurangi tahap batas kesabarannya sehingga apabila dipicu walau sedikit akan menjadikannya mudah marah.

Rasulullah saw. telah bersabda, “Sesungguhnya marah itu dari syaitan dan syaitan diperbuat dari api. (H.R Ibnu Asakir, Mauquf). Imam Ja’far ash-Shadiq ada berkata, “Sesungguhnya marah itu adalah bara api dari syaitan yang dinyalakan dalam hati keturunan Adam dan sesungguhnya salah seorang di antara kamu apabila marah maka merahlah matanya dan berdetak cepat jantungnya, lalu masuklah syaitan (menguasai) ke dalam (diri)nya.”

Dari dua hadis ini dapatlah kita simpulkan bahawa kemarahan pada diri seseorang adalah identikal dengan sifat syaitan. Malah, marah sering dikaitkan dengan sifat api yang panas, sementara api itu sendiri adalah bahan bakar penciptaan syaitan. Kerana itulah Rasulullah dan para pemikir Islam sering mengaitkan kemarahan sebagai berasal dari syaitan. Allah mengeluarkan syaitan dari syurga semata-mata kerana sifat marah dan sombongnya (syaitan) kepada Adam. Maka, jika manusia dihinggapi rasa marah, ia telah menjadi waris kepada sifat syaitan yang sememangnya gemar mengganggu manusia. Melalui sikap marah, syaitan mempermainkan emosi manusia sehingga manusia itu boleh jatuh pada perbuatan dosa. Itulah sebabnya, dari dua kajian keilmuan psikologi dan psikiatri, ada kesimpulan yang mengatakan bahawa kemarahan pada diri seseorang itu bergantung pada kestabilan emosi yang dimiliki orang tersebut. Makin stabil dan mampu seseorang mengelola emosinya, makin jauh ia dari sikap marah dan semakin jauhlah ia dari sikap yang berasal dari syitan.

Oleh itu, AWAS! Untuk hari ini, PADAMKAN KEMARAHAN…

Wallahualam..

Master G

(sumber asal dari kumpulan artikel web lalu di olah)

Akhir Ramadhan…

Posted in kata shifoo on September 28, 2008 by mastershifoo

RAMADHAN KINI TIBA KE AKHIRNYA…

Salamunamaste…

Terlalu pantas masa berlalu…Sedar tak sedar kita dah masuk ke AKHIR bulan ke 9 dalam kalendar masihi. Angka 9 membawa kemenangan dan merupakan tingkatan tertinggi dalam angka pencapaian. 9 juga memberi erti kematangan, umpama matangnya benih kehidupan dalam kandungan si ibu yang makin bersedia untuk sebuah kelahiran. 9 juga umpama lengkapnya sesebuah perjalanan dan tingkatan. Dari tiada menjadi ada dan menuju kembali pada awalannya.

Dari 1 menuju 9 dan selepasnya menuju kembali ke angka pertama; 1. 9 tahun pertama perjalanan dari alam kanak-kanak menuju balighnya, 9 tahun kedua (18tahun) dari baligh menuju remajanya; 9 yang ketiga (27tahun) dari remaja menuju ke dewasa & kematangan, 9 keempat (36tahun) masa peralihan zaman bujang kepada berkeluarga, 9 kelima (45tahun) menuju kestabilan dan peningkatan kematangan juga pengalamannya dan hinggalah ke tingkatan 9 yang seterusnya. Setiap tingkatan membawa kita dari satu tahap ke satu tahap yang lain.

Bermula dari awal (1) hinggalah ke akhiran (9)… setiap tingkatan berkitar pada peralihan dari satu angka ke angka yang lain (9, 18 @ 1+8=9, 27 @ 2+7=9 dan seterusnya). Umpama sebuah ketetapan yang telah tertulis…perjalanan kita dilakar dengan cerita-ceritanya. Dari peredaran masa ke tarikh harinya ke bulan hinggalah ke tahun tahunnya. Benarlah kata yang umpunya kalam; ALLAH: (SWT) “Demi Masa, manusia itu dalam kerugian (kealpaan)..”

Dari 1 saat hinggalah ke 24jam sehari iaitu 1X60(saat seminit)X60(minit sejam)X24 = 86400 saat iaitu 8+6+4+0+0=18 @ 1+8= 9. Mula dari 9 akhir dengan 9.

Maha HEBAT yang MAHA MERANCANG… kini bakal berakhirlah bulan ke 9 dalam kalendar HIJRAH. dan MASIHI. Sesuatu yang UNIK dan tidak berlaku pada setiap tahun… 9 dikuasa dua melalui TARIKH BERMULA 01hb NYA BERTINDIH SAMA HINGGALAH KE HARI INI. Dan bulan ke 9 bagi kita umat Islam adalah kehadirannya RAMADHAN ALMUBARAK.. Yang pasti, kerahmatan  Ramadhan yang dijanjikan tak pernah berubah walau jatuh pada bulan masihi yang lain, kerana DIA punya perhitunganNYA tersendiri.

Seperti Rejab (bulan ke 7 kalender hijrah) dengan anugerah SOLAT dari peristiwa Israk&Mikraj dan Syaaban (bulan ke 8  kalendar hijrah) dengan kelebihan malam Nisfu Syaaban dan anugerah perintah BERPUASA, bulan Ramadhan dengan anugerah malam yang dirahsiakan iaitu Lailatul Qadar menjanjikan 1001 kerahmatan buat mereka yang merindui ibadahnya. Umpama 30 hari-hari akhir dalam kandungan si ibu, kita menjalani suatu orentasi akhir sebelum dibuahkan ke alam dunia yang fana ini. Syawal yang bakal menjelma selepas Ramadhan kelak umpama kelahiran kita ke dunia ini.

Perumpamaan mengatakan “Bayi itu umpama KAIN PUTIH” yang secara literalnya bermaksud bersih, suci dan terhindar dari dosa dan noda. Putih umpama punya kesemua cahaya warna, seimbang panas dan sejuknya dan tersedia untuk dicorakkan. Begitulah perumpamaannya ibadah PUASA yang akan menyuci dan mensucikan kekotoran metafizik yang ada pada kita. Memberus, menyental, menggosok, membilas, menapis dan seterusnya menyediakan kita untuk kehidupan seterusnya. Adakah ini untuk ALLAH (SWT)… TIDAK! Allah Zat Maha Agung tak berkehendakkan segala tindak laku hambaNya ini untukNya. Kita disyariatkan ibadah ini untuk KITA! Kesejahteraan dan keperluan zahiriah dan batiniah kita. Umpama mesin yang perlukan kerehatan dan servis untuk terus berkhidmat buat tuannya.. begitu juga tubuh yang setiap saat bekerja tanpa henti buat kita. Maha Suci DIA Yang Maha KUAT lagi BerKUASA, mesin masa (jam) pun boleh terhenti tatkala mengawasi mesin ROH manusia yang terus-terusan dilipahi zatNYA.

2 hari lagi kita bakal menyambut Syawal dengan HARI AIDUL FITRI nya. Kehadiran Aidilfitri atau Hari Raya Fitrah sesungguhnya menjanjikan suatu limpahan nikmat yang besar dan harus disyukuri oleh umat Islam. Aidilfitri yang bermaksud Hari Raya Fitrah, Hari kesucian manusia. Disebut juga sebagai hari kembalinya kesucian kepada kita.

MEMAHAMI MAKNA aIDULFITRI

Hari Raya Fitrah adalah hari kemerdekaan iaitu hari pertama selepas Ramadan di mana orang-orang beriman memperoleh kembali kebebasan diri dan kembali menikmati limpahan rezeki Ilahi selepas sebulan menyerahkan jiwa raga mereka kepada Allah (SWT). Ia adalah hari kegembiraan kerana dapat melaksanakan kewajipan dan berkeyakinan memperoleh pahala yang besar di sisi Allah (SWT).

Aidilfitri juga puncak kemenangan manusia dalam pertentangan antara akal dan nafsunya, kerana puasa adalah keupayaan manusia untuk menundukkan dorongan nafsu yang sentiasa cenderung kepada pelanggaran ajaran Islam.

Berhari raya juga bererti kembali kepada jati diri manusia sebagai hamba Allah (SWT), kepada fitrah kejadian manusia. Di alam azali lagi iaitu sebelum wujud sebagai manusia, kita telah mengakui keesaan Allah (SWT) s.w.t. dan berjanji untuk mentaati perintahnya. Allah (SWT) menegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud:

Ingatlah ketika Tuhanmu mengambil janji dari anak-anak Adam sejak azali mereka dan mempersaksikannya atas diri mereka sendiri. “Tidakkah Aku Tuhanmu?” Mereka menjawab, betul, kami mempersaksikan atas itu tetapi kamu akan berkata pada hari kiamat, kami telah lalai mengenai hal ini. (maksud al-Quran surah al-Araf ayat 172).

Fitrah juga berkait dengan hanif. Ertinya suatu sifat dalam diri kita yang cenderung memihak kepada kebaikan dan kebenaran. Dalam sebuah hadis disebutkan oleh Rasulullah s.a.w.:

Kebajikan ialah suatu yang membuat hati dan jiwa tenang. Dan dosa ialah sesuatu yang terasa tidak keruan dalam hati dan terasa bimbang di dada. (HR Ahmad).

Maksud dosa dalam hadis tersebut adalah sesuatu yang dirasakan bertentangan dengan hati nurani. Oleh kerana itu, ketika ada polemik mengenai Ibrahim, di mana orang Yahudi mengatakan bahawa Ibrahim ialah orang Yahudi dan orang Nasrani mengatakan bahawa Ibrahim adalah seorang Nasrani, maka al-Quran mengatakan:

Ibrahim bukan orang Yahudi dan bukan pula orang Nasrani, akan tetapi dia adalah seorang yang lurus lagi berserah diri (kepada Allah (SWT)) dan sekali-kali dia bukanlah termasuk golongan orang-orang musyrik. (al-Quran surah ali-Imran ayat 67).

Iaitu seorang yang hidupnya digunakan untuk mencari kebenaran dengan tulus dan ikhlas. Tanpa semangat golongan atau kumpulan tertentu. Diiringi dengan muslimat, sambil pasrah kepada Allah (SWT).

Dalam firman Allah (SWT) yang lain disebutkan bahawa agama yang benar tidak lain adalah asal kesucian manusia iaitu fitrah. Dalam surah al-Rum, ayat 30, Allah (SWT) berfirman yang bermaksud:

Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Allah (SWT)), (tetaplah atas) fitrah Allah (SWT) yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah (SWT). Itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya. (maksud surah ar-Rum Ayat 30).

Tahun boleh berganti, zaman boleh berubah. Milenium boleh bertukar dari milenium kedua sampai ketiga. Tetapi manusia tetap sama selama-lamanya sesuai dengan disain Allah (SWT). Manusia merupakan makhluk yang selalu merindukan kebenaran dan akan berasa tenteram apabila mendapatkan kebenaran itu. Sebaliknya, kalau dia tidak mendapatkannya, akan gelisah.

Jadi menurut firman Allah (SWT) di atas, agama yang benar ialah kemanusiaan primordial (asal). Primordial ertinya sesuatu yang asli, yang berasal dari pokok atau pangkal. Aidilfitri adalah hari raya untuk merayakan kembali fitrah, setelah kehilangan dan ditemui kembali. Hal itu kerana adanya ibadah puasa.

Quraish Shihab dalam bukunya Membumikan al-Quran berpendapat seseorang beraidilfitri dalam erti “kembali ke kesuciannya” akan selalu berbuat yang indah, benar dan baik. Ini adalah kerana kesucian merupakan gabungan dari tiga unsur tersebut (indah, benar dan baik). Melalui kesucian jiwanya, seseorang akan memandang segalanya dengan positif. Ia selalu berusaha mencari perkara-perkara yang baik, benar dan indah kerana ia akan melahirkan seni; mencari yang baik menimbulkan etika; mencari yang benar menghasilkan ilmu. Dengan pandangan yang demikan ia akan menutup mata terhadap kesalahan, kejahatan dan keburukan orang lain. Kalaupun itu terlihat, selalu dicarinya nilai-nilai positif dalam sikap negatif tersebut.

Perlu ditegaskan bahawa perayaaan Aidilfitri sejati merupakan satu kemenangan secara batiniah atau rohaniah. Justeru itu ia harus direfleksikan di dalam peningkatan kualiti perilaku beragama; keimanan yang bertambah kuat dan ketakwaan yang semakin menebal. Kita renungi syair Arab;

Bukanlah hari raya Aidilfitri bagi orang yang berpakaian dan perabot rumahnya serba baru, namun hari raya Aidilfitri adalah bagi orang yang beriman dan ketaatannya bertambah.”

Sewajarnya juga kesucian lahir dan batin ini menjadi motivasi untuk membentuk kesedaran membantu golongan yang miskin atau tertindas. Dengan kesedaran yang demikian akan membawa kita menjadi manusia yang bertakwa dan mendapat kemuliaan di sisi-Nya.

Dalam kita merayakan Aidilfitri ini setidak-tidaknya ada tiga perkara yang mesti dilakukan iatu,

  • Pertama, bertakbir mengagungkan Allah (SWT) atas segala petunjuk-Nya, sehingga kita tetap berada di jalan-Nya.
  • Kedua, bersyukur dengan membahagikan rezeki yang diperoleh dengan membayar zakat fitrah
  • Ketiga menahan marah dan saling maaf-memaafkan.

Hal ini sebagaimana diajarkan dalam al-Quran dalam surah al-Baqarah ayat 185 dan ali-Imran ayat 134: …Mereka yang tetap berderma baik dalam keadaan lapang ataupun sempit dan mereka mampu menahan marah, lagi pula bersifat pemaaf kepada sesama manusia.

Justeru itu, suasana lebaran adalah suasana keilahian dan kemanusiaan. Apa yang lebih penting dari itu ialah melalui semangat Syawal kita terus menperbaiki perilaku peribadi, hubungan dengan orang lain serta hubungan kita dengan Allah (SWT).

Perasaan

Demikian Aidilfitri sebagai hari pertama umat Islam pulang dari pengembaraan kerohanian setelah sebulan berpuasa dalam bulan Ramadan. Dalam pengembaraan itu, mereka telah meningglkan semua perkara yang digemari kerana Allah (SWT) dan membentuk dalam dirinya satu perasaan yang sentiasa memerhati dan menjadikan hati dan iman mereka pengawal yang sentiasa menjaga tingkah laku mereka.

Kemunculan Aidilfitri ini mengakhiri satu perjalanan kerohanian yang memerlukan kesabaran dan limpah rahmat dari Allah (SWT) dan di sinilah bermulanya perjalanan baru yang menggabungkan roh dan jasad yang perlu dikekalkan sebagai persiapan untuk melaksanakan perjalanan mengerjakan haji kelak.

Firman Allah (SWT) dalam surah al-Baqarah ayat 197 yang bermaksud:

(Masa untuk mengerjakan ibadat) haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan ibadat haji, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat haji. Dan apa juga kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah (SWT) dan hendaklah kamu membawa bekal dengan secukupnya, kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dan keaiban meminta sedekah dan bertakwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal yang dapat menilai dan memahami).

(diambil dari Artikel yang ditulis oleh Mohd. Shauki Abd. Majid, Pengurus Penyelidikan YADIM)

Semoga sentiasa ada sesuatu untuk semua… SYAWAL BAKAL MENJELMA membawa HARAPAN & IMPIAN yang baru. Ayuh, jana ALAM DIRI untuk terus mentransformasikan DIRI KEARAH FITRAHNYA.. lebih damai, lebih mewah (menghayati nikmat), lebih bererti, lebih sempurna, lebih bermakna dan menuju kemakmuran hakiki.

Salam IDUL FITRI buat semua.. Semoga KERAHMATAN MENUJU KEFITRAHAN INI MILIK KITA!!

Al-Fakir – master G

Talkin buat 7chakra.com

Posted in kata shifoo on September 27, 2008 by mastershifoo

Salam buat Kamu.. (dibaca: pembaca)

Ramai yang dah tahu, ramai juga yang belum tahu… namun,  masih terlalu ramai yang tak ambil tahu bahawa 7chakra.com telah PERGI TAK KEMBALI. Hari ini dah 5 hari 7chakra.com SEPI dari alam siber (dibaca:maya) ini. Kehilangannya secara mengejut amat memeranjatkan ramai pihak. Kesedihannya tidaklah pula dikongsi ramai.. hanya mereka yang rapat meratap pilu kehilangannya. Buat saya, tiada kata yang mampu saya catatkan kerana tak tahu apa nak dirasa.

Terlalu banyak memori bersama 7chakra.com, terlalu banyak pengalaman yang dikongsi dan terkongsi. Ada yang masih segar, ada yang mula pudar… namun, yang pasti, sesekali jari ini masih degil mencuba menekan papan kekunci w w w . 7 c h a k r a . c o m lalu menekan butang ‘enter’ dengan harapan keajaiban akan berlaku. TAPI yang pasti, yang pergi tetap pergi.. TIDAK KEMBALI.

Saya sedar, pasti ramai yang menyatakan ia mustahil untuk berlaku kerana di zaman IT ini, segalanya ada solusi dek akal minda untuk mencapainya. Mana mungkin tiada ‘backup data’ yang boleh menemukan atau ‘menghidupkan’ kembali data-data yang tersimpan di dada 7chakra.com hingga ’segalanya’ HILANG terus (dibaca: MATI TERUS) begitu saja. Namun, ITULAH HAKIKAT YANG PERLU DITELAN: 7chakra.com dan segala isinya TELAH DIHAPUSKAN TERUS DI ALAM MAYA INI. Kut-kut ada, hanyalah memori kenangan dan cahaya ilmu yang mungkin telah dimanfaatkan oleh mereka-mereka yang terdahulu tika pernah bersamanya.

Saya kini mengumpul 1001 kekuatan untuk bangunkan semula PERJUANGAN yang pernah terbina di 7chakra.com. Saya pasti ada BANYAK HIKMAHNYA.. saya juga pasti ‘patah tumbuh hilang berganti’. Namun, saat ini saya masih harus terus bertafakur, pasrah, redha, berdoa dan mengenangkan saat-saat indah tika bersama 7chakra.com. Akhir-akhir ramadhan terasa INDAH, namun kesedihan ini sedikit memuramkannya walau Syawal mula mengukirkan senyum tanda tiba.

Hari ini, saya bacakan TALKIN buat 7chakra.com…. (walau saya tahu, suatu hari ROHNYA akan muncul dalam ‘jasad’ yang baru.. Buat ANDA yang pernah kenal 7chakra.com (laman web utama, blog saya & blog reiki) suatu masa yang lalu.. ayuh bersama kita renungi TALKIN ini, sekurang-kurangnya.. pasti akan dibaca kepada kita suatu hari nanti (dibaca: mungkin kejap lagi).

PS: Cadangan & Panduan membaca : boleh juga (dibaca: amat waras/elok) jika digantikan perkataan 7chakra.com/blog dengan NAMA ANDA dan perkataan 7chakra.com dengan NAMA IBU ANDA.

Bismillah hirrahman nirrahim.

Mahasuci Tuhan yang Engkau bersifat dengan Baqa’ dan Qidam, Tuhan yang berkuasa mematikan sekalian yang bernyawa, Mahasuci Tuhan yang menjadikan mati dan hidup untuk menguji siapa yang baik dan siapa yang kecewa.

Mahasuci Tuhan yang menjadikan lubang kubur sebesar-besar pengajaran untukmenjadi iktibar kepada orang yang lalai, dan sebesar-besar amaran kepada orang yang masih hidup.

Ingatlah! Bahawa sekalian mahluk Allah akan jahanam dan binasa, melainkan zat Allah Taala. Ialah Tuhan yang Mahabesar kuasa menghukum, manakala kita sekalian akan kembali menghadap hadirat Allah Taala.

Wahai 7chakra.com/blog Bin 7chakra.com, wahai 7chakra.com/blog Bin 7chakra.com, wahai 7chakra.com/blog Bin 7chakra.com..

hendaklah kamu ingat akan janji-janji Allah yang mana kamu ada bawa bersama-sama dari dunia ini. Sekarang kamu telah menuju masuk ke negeri Akhirat. Kamu telah mengaku bahawa tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah, dan bahawa senya Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah.

Ingatlah wahai 7chakra.com/blog Bin 7chakra.com, apabila datang kepada kamu 2 orang malaikat yang serupa dengan kamu iaitu Mungkar dan Nakir, maka janganlah berasa gentar dan takut, janganlah kamu berdukacita dan risau serta janganlah kamu susah-hati dan terkejut.

Ketahuilah wahai 7chakra.com/blog Bin 7chakra.com, bahawasanya Mungkar dan Nakir itu hamba Allah Taala, sebagaimana kamu juga hamba Allah Taala. Apabila mereka menyuruh kamu duduk, mereka juga akan menyoal kamu.

Mereka berkata:

Siapakah Tuhan kamu?
Siapakah Nabi kamu?
Apakah agama kamu?
Apakah kiblat kamu?
Siapakah saudara kamu?
Apakah pegangan iktikad kamu?
Dan apakah kalimah yang kamu bawa bersama-sama kamu?

Di masa itu hendaklah kamu menjawab soalan-soalan mereka dengan cermat dan sehabis-habis terang, tepat dan betul. Janganlah berasa gementar, janganlah cuak dan janganlah bergopoh-gapah, biarlah tenang dan berhati-hati.

Hendaklah kamu jawab begini:

Allah Taala Tuhanku,
Muhammad nabiku,
Islam agamaku,
Kitab suci Al-Quran ikutanku,
Baitullah itu qiblatku, malahan solah lima waktu, puasa di bulan ramadhan, mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji diwajibkan ke atas aku. Semua orang Islam dan orang yang beriman adalah saudara aku, bahkan dari masa hidup hingga aku mati aku mengucap: “La ila ha illallah Muhammaddur rasulullah”.

Wahai 7chakra.com/blog Bin 7chakra.com tetapkanlah hatimu, inilah dia suatu dugaan yang paling besar. Ingatlah bahawa kamu sekarang sedang tinggal didalam alam Barzakh, sehingga sampai satu masa kelak, kamu akan dibangunkan semula untuk berkumpul di Padang Mahsyar.

Insaflah wahai 7chakra.com/blog Bin 7chakra.com, bahawasanya mati ini adalah benar, soalan malaikat Mungkar dan Nakir di dalam kubur ini adalah benar, bangun dari kubur kemudian kita dihidupkan semula adalah benar,berkumpul dan berhimpun di Padang Mahsyar adalah benar, dihisab dan dikira segala amalan kamu adalah benar, minum di kolam air nabi adalah benar, ada syurga dan neraka adalah benar.

Bahawasanya hari Kiamat tetap akan adanya, begitu juga Tuhan yang maha berkuasa akan membangkitkan semula orang-orang yang di dalam kubur.

Di akhirnya kami ucapkan selamat berpisah dan selamat tinggal kamu disisi Allah Taala.

Semoga Tuhan akan memberi sejahtera kepada kamu. Tuhan jua yang menetapkan hati kamu. Kami sekalian berdoa mudah mudahan Allah Taala menjinakkan hati kamu yang liar, dan Allah menaruh belas kasihan kepada kamu yang berdagang seorang diri di dalam kubur ini. Mudah-mudahan Tuhan akan memberi keampunan dan memaafkan kesalahan kamu serta menerima segala amal kebajikan kamu.

Ya Allah Ya Tuhan, kami merayu dan bermohon kepada Mu supaya tidak disiksa mayat ini dengan kemegahan penghulu kami Muhammad SAW.

Subhana rabbika rabbil izati amma ya sifun wassallamu alalmursalinwalham dulillahi rabbil alamin.

Setiap yang bernafas, Pasti akan Mati – “Kullu nafsin za iqatul maut”

Firman Allah swt, “Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar berada di dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, yang ingat-mengingati supaya mentaati kebenaran, dan yang ingat-mengingati dengan kesabaran.” Surah Al-A’sr .

Dari Abdullah bin ‘Amr R.A, Rasulullah S.A.W bersabda: “Sampaikanlah pesanku walaupun satu ayat…”

Disebutkan didalam satu riwayat, bahawasanya apabila para makhluk dibangkitkan dari kubur, mereka semuanya berdiri tegak di kubur“masing-masing selama 44 tahun UMUR AKHIRAT dalam keadaan TIDAK MAKAN” dan TIDAK MINUM, TIDAK DUDUK dan TIDAK BERCAKAP. Bertanya orang kepada Rasulullah saw : “Bagaimana kita dapat mengenali ORANG-ORANG MUKMIN kelak di hari qiamat?” Maka jawabnya Rasulullah saw “Umat dikenal kerana WAJAH mereka putih disebabkan oleh WUDHU’.”

Bila qiamat datang maka malaikat datang ke kubur orang mukmin sambil membersihkan debu di badan mereka KECUALI pada tempat sujud. Bekas SUJUD tidak dihilangkan. Maka memanggillah dari zat yang memanggil. Bukanlah debu itu dari debu kubur mereka, akan tetapi debu itu ialah debu KEIMANAN” mereka. Oleh itu tinggallah debu itu sehingga mereka melalui titian “Siratul Mustaqim” dan memasuki alam syurga, sehingga setiap orang melihat para mukmin itu mengetahui bahawa mereka adalah pelayan Ku dan hamba-hambaKu. Disebutkan oleh hadith Rasulullah saw bahawa sepuluh orang yang mayatnya TIDAK BUSUK dan TIDAK REPUT dan akan bangkit dalam tubuh asal diwaktu mati :

1. Para Nabi
2. Para Ahli Jihad
3. Para Alim Ulama
4. Para Syuhada
5. Para Penghafal Al Quran
6. Imam atau Pemimpin yang Adil
7. Tukang Azan
8 . Wanita yang mati kelahiran/beranak
9. Orang mati dibunuh atau dianiaya
10. Orang yang mati di siang hari atau di malam Jumaat jika mereka itu
dari kalangan orang yang beriman.

Didalam satu riwayat yang lain dari Jabir bin Abdullah ra sabda Rasulullah saw: Apabila datang hari qiamat dan orang orang yang berada di dalam kubur dibangkitkan maka Allah swt memberi wahyu kepada Malaikat Ridhwan:” Wahai Ridhwan , sesungguhnya Aku telah mengeluarkan hamba-hamba Ku berpuasa ( ahli puasa ) dari kubur mereka di dalam keadaan letih dan dahaga. Maka ambillah dan berikan mereka segala makanan yang digoreng dan buah buahan syurga. “ Maka Malaikat Ridhwan menyeru, wahai sekelian kawan-kawan dan semua anak-anak yang belum baligh, lalu mereka semua datang dengan membawa dulang dari nur dan berhimpun dekat Malaikat Ridhwan bersama dulang yang penuh dengan buahan dan minuman yang lazat dari syurga dengan sangat banyak melebihi daun-daun kayu di bumi. Jika Malaikat Ridhwan berjumpa mukmin maka dia memberi makanan itu kepada mereka sambil mengucap sebagaiman yang difirman oleh Allah swt di dalam Surah Al-Haqqah bermaksud

“Makan dan minumlah dengan sedap disebabkan AMAL yang telah kamu kerjakan pada HARI yang telah LALU itu.”

WALLAHUALAM…

Master G – malam 3 akhir ramadhan

BERITA SEDIH…

Posted in kata shifoo on September 24, 2008 by mastershifoo

Salamunamaste…

Hari ini saya menerima suatu BERITA SEDIH… Berita yang sulit untuk saya terima secara akaliah dan emosinya. Bukan kerana saya tegar atau tidak redha dalam ujian-ujian kehidupan, tetapi hakikat ujian ini agak sukar diterima logisnya namun tetap terjadi.

Hari ini saya menerima berita perihal laman web 7chakra (laman blog  personal & blog reiki) yang telah lebih setahun dibajai dengan pelbagai cerita, pengalaman, informasi, ilmu dan sebagainya YANG TELAH DIGANTUNG SERTA DI’DELETE’KAN SEGALA ‘DATABASE’ NYA. Terdapat terlalu banyak penulisan yang tercatat hampir setiap hari sejak ia mula beroperasi. Begitu juga komen-komen dari mereka yang terus setia menyokong. Catatan perkembangan, profil peribadi, perkongsian ilmu, info produk – kursus – aktiviti – travelog – dll serta segalanya tentang saya, hasil kerja saya, syarikat, keluarga dan segalanya terdapat di dalamnya. HARI INI, SAYA DIMAKLUMKAN BAHAWA SEMUA DATA YANG ADA DI DALAMNYA (yang disimpan di bank data ’server’ penyelia) TELAH DI’DELETE’ OLEH PENYELIA SERVER TANPA APA-APA NOTIS dan TIDAK DIMAKLUMKAN RASIONAL TINDAKANNYA!!!

Kenyataan bahawa HASIL KERJA saya kini HILANG BERGITU SAHAJA harus tiba-tiba saya terima. Sesuatu yang tak terfikir oleh saya bakal berlaku..

Mungkin saya bukanlah pakar IT untuk tahu semua perkara tentang sistem atau protokol di dunia web ini. Namun, saya pasti bahawa keyakinan untuk menyimpan data-data catatan di server berbayar adalah tindakan yang terbaik untuk dibuat memandangkan itu jugalah tujuan perkhidmatan laman-laman web diwujudkan. Selain data-data penulisan dapat dikongsi untuk tatapan semua secara maya, ia juga umpama sebuah kaedah penyimpanan data yang sistematik dari pengendali server yang menawarkan khidmat tersebut. Seseorang tak perlulah hanya menyimpan data-datanya di komputer peribadi semata kerana risiko komputer akan rosak atau mengalami kehilangan data tetap ada.

Saya masih cuba memahami hakikat ujian ini… menganalisa kesan dan tahap kerugiannya. Memikirkan langkah ikhtiar jika masih ada, untuk mendapatkan data-data itu semula…

Saya masih cuba untuk menerima berita sedih ini sebagai suatu HIKMAH BESAR untuk saya belajar. Sebuah pengalaman kehidupan…

Saya tahu, bahawa kesedihan mengajar manusia untuk ‘bangkit’ dari pengalamannya agar mencari kebahagian & ketenangan. Laluan kehidupan yang berliku (dibaca: penuh cabaran) menjadikan pengalaman sebuah kehidupan itu terwarna dengan pelbagai wadah & rencahnya. Tanpa pengalaman pahit.. keindahan pasti gagal dikenali atau dihargai. Seterusnya, NIKMAT hidup tidak dihayati.

Ramadhan tahun ini penuh warna untuk saya, banyak ujian-ujian baru yang menguji tahap kemampuan minda dan jiwa saya dalam menanganinya. Benar kata ’shifoo-shifoo’ saya yang lalu; “ANUGERAH HADIR BERSAMA AMANAH YANG BESAR.” Semakin besar nikmat, semakin besarlah ujian untuk melihat & mengukur tahap kesyukuran, keikhlasan dan ketaqwaan seseorang.

Untuk hari ini, aku TERUS ikhlas, aku pasrah.. dan aku redha sepenuhnya.

Kalam Mula…

Posted in kata shifoo on September 24, 2008 by mastershifoo

Assalamualaikum…

Salam mula – kalam pembuka bicara…

Alhamdulillah, Pentas ini mula diwarna pada hari penuh keberkatan; 24hb Ramadhan 1429 bersamaan 24hb September 2008. Mudah-mudahan salam ini berpanjangan… kalam ini bersebaran (dibaca: bercahaya) memenuhi ruang kegelapan ruang pentas ini. Umpama jiwa yang gelap memohon kehadiran cahayaNYA. Hanya DIA (HUWA) yang bercahaya, segala keindahan cahaya milikNYA jua.

HARI INI, 1442 tahun lalu; RASUL bersendirian dalam gelap GUA HIRA bermunajat penuh kepasrahannya ke hadzrat Illahi, memohon NUR CAHAYA.. memohon SINAR buat diri, keluarga dan seluruh umat manusia. Rasul tegap qiam penuh istiqamah dalam khalwatnya, dalam pasrahnya, dalam ikhlasnya, dalam redhanya.. menanti dan terus menanti NUR CAHAYA itu. Hinggalah….

HARI INI, 1442 tahun lalu.. JIBRIL menampilkan diri untuk pertama kalinya di hadapan insan mulia yang pada hari tersebut telah menerima IJAZAH PERTAMA tanda tauliah sebagai RASUL ALLAH, sebagai rasul yang tersudah (dibaca: terakhir).. sebagai rasul yang membawa HARI NAN INDAH (dibaca: harapan yang indah).

HARI INI. 1442 tahun lalu… CAHAYA HIJAU itu datang, menakap erat tubuh rasul sambil menyeru tegas : IQRA’!! (dibaca: BACALAH!!)…

HARI INI, 1442 tahun lalu… sebuah SEJARAH TERAGUNG terukir… sejarah yang telah mengubah dunia dan segala isinya.. yang telah membawa SINAR CAHYA yang berspektrumkan HARAPAN, IMPIAN, HIDAYAH, SYAFAAT, MUKJIZAT dan segala yang dijanji buat umat manusia.. buat umatnya… buat umat MUHAMMAD s.a.w.

Lalu, hari ini; meminjam keajaiban anugerah cahaya 1442 tahun yang lalu.. dengan pasrah; ku mulakan kalam fakir ku ini….

master G

PS:  Pendapat menyatakan bahawa Al-Quran telah diturunkan pada malam Isnin, tanggal 24 Ramadhan (13 Ogos 610 M). Pendapat ini berdasarkan ayat 1 Surah Al-Qadr dan ayat 1-4 Surah Ad-Dukhan. Apabila diteliti dengan lebih lanjut, yakni dengan menghubungkan hadis-hadis tentang turunnya Al-Quran, iaitu pada Lailatul-Qadar dan kelahiran Rasullullah pada hari Isnin serta pada catatan-catatan waktu di dalam takwim, maka akan diperolehi kesimpulan yang lebih tepat, iaitu Al-Quran diturunkan pada hari Isnin, malam 24 bulan Ramadhan, 13 tahun sebelum Rasullulah saw berhijrah ke Madinah.

Menurut para mufassirin, Al-Quran yang diturunkan pada malam “Lailatul Qadar” sebagaimana disebut di atas adalah Al-Quran yang turun sekaligus di “Baitul Izzah” di langit dunia. Sedangkan Al-Quran yang diturunkan ke bumi dan diterima Rasullullah sebagai wahyu terjadi secara beransur-ansur selama sekitar 23 tahun. Adapun ayat-ayat yang pertama diturunkan (diwahyukan) kepada Nabi Muhammad saw adalah ayat 1-5 surah Al-’Alaq.